RENGIT: Masalah infrastruktur dan kemudahan asas seperti ketiadaan air yang sering membelenggu penduduk Rengit akan diberi keutamaan untuk diselesaikan bagi memastikan kebajikan masyarakat setempat terus terpelihara.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat di kawasan Rengit dan pedalaman khususnya berhak menikmati pembangunan sewajarnya kerana kerajaan bertanggungjawab membantu golongan tersisih tanpa mengira latar belakang kaum.
Katanya, Johor yang mempunyai kekuatan ekonomi tidak sepatutnya terus berdepan masalah bekalan air kerana ia merupakan keperluan asas rakyat.
“Saya tidak mahu membuat janji bulan bintang, jika ada masalah yang membelenggu, kita akan catat dan apa yang saudara beritahu, saya akan buat, insya-Allah.
“Saya menggesa penduduk memberikan peluang kepada PH meneruskan agenda pembangunan supaya lebih banyak masalah infrastruktur serta kemudahan asas di Rengit dapat diselesaikan segera,” katanya sewaktu berucap dalam program Ceramah PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit di Dewan Orang Asli Rengit hari ini.
Turut hadir Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Bekas ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Anwar berkata, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menyelesaikan masalah bekalan air, sekolah, jalan kampung, rumah dan klinik uzur yang menjadi keperluan asas penduduk.
Katanya, Johor tidak sepatutnya terus berdepan masalah bekalan air kerana negeri itu mempunyai kekuatan ekonomi, namun masih terdapat penduduk mengemukakan aduan berhubung kemudahan tersebut.
“Masalah membabitkan kampung Melayu, Cina, India dan Orang Asli miskin merupakan tanggungjawab kerajaan yang perlu diselesaikan sedaya upaya demi kebajikan rakyat seluruhnya.
“Jikalau klinik pun uzur, macam mana doktor nak rawat pesakit?.
“Berkenaan permintaan membina dewan boleh dipertimbangkan kemudian kerana kemudahan kesihatan, bekalan air dan keperluan asas lain lebih mendesak untuk kita selesaikan segera.
“Johor sudah memiliki pelbagai pembangunan besar seperti Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link, pusat data, kilang dan bangunan tinggi, namun keutamaan kerajaan kini ialah memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya. – UTUSAN




