bhnews@bh.com.my
Putrajaya: Malaysia dan Thailand mempergiat rundingan teknikal melalui saluran rasmi antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu perdagangan siakap dan udang secara konstruktif.
Rundingan itu berlandaskan prinsip perdagangan yang adil, bukti saintifik serta pematuhan kepada langkah ‘Sanitary and Phytosanitary’ (SPS).
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata rundingan yang sedang berlangsung memberi tumpuan kepada usaha memperhalusi keperluan teknikal bagi memudah cara perdagangan tanpa menjejaskan aspek biosekuriti, keselamatan makanan dan kesihatan haiwan akuatik.
“Malaysia melihat proses ini sebagai penyelarasan teknikal antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara, bukannya pertikaian perdagangan.
“Pendekatan yang diambil adalah berasaskan sains, pengurusan risiko dan kepentingan bersama bagi memastikan hubungan perdagangan perikanan terus berkembang secara adil, telus dan saling menguntungkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adnan berkata, bagi perdagangan udang, Malaysia sudah melengkapkan penilaian awal terhadap maklumat yang dikemukakan oleh Thailand dan mengemukakan 35 soalan teknikal bagi mendapatkan penjelasan lanjut sebelum penilaian risiko dimuktamadkan.
Bagi perdagangan siakap pula, kedua-dua negara sedang memperhalusi beberapa keperluan import termasuk aspek pensijilan, keselamatan makanan dan pengurusan risiko bagi memudah cara perdagangan.
“Dalam rundingan terbabit, Malaysia turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh kerjasama teknikal, termasuk penyelarasan keperluan pensijilan, pengukuhan sistem kebolehkesanan (traceability), perkongsian data saintifik serta mekanisme pemeriksaan yang lebih berasaskan risiko.
“Malaysia juga berharap pendekatan terbabit dapat membuka ruang kepada semakan semula keperluan pensampelan 100 peratus terhadap pengeksport siakap yang mempunyai rekod pematuhan yang baik serta penerokaan mekanisme seperti ‘green lane’ bagi ladang yang memenuhi standard keselamatan makanan dan biosekuriti,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia berharap isu sekatan import udang Malaysia ke Thailand yang berkuat kuasa sejak tahun 2017 dapat diselesaikan melalui pendekatan teknikal yang sama, sekali gus mewujudkan akses pasaran yang lebih seimbang kepada industri akuakultur kedua-dua negara.
“Setiap keputusan yang diambil Malaysia adalah berasaskan penilaian risiko saintifik dan piawaian antarabangsa.
Sebaik sahaja semua maklumat teknikal yang diperlukan diterima, proses penilaian akan dimuktamadkan dengan kadar segera bagi menyokong kelancaran perdagangan serta melindungi kepentingan industri akuakultur negara,” katanya.
Kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan akses pasaran eksport dapat diperkukuh, di samping membantu pengusaha meningkatkan pematuhan terhadap standard eksport, sistem kebolehkesanan dan amalan biosekuriti bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul pada sidang media bersama memaklumkan kedua-dua negara mencapai kata sepakat menyelesaikan isu tertunggak sektor perikanan terutama membabitkan akses pasaran dengan mempercepatkan pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan dalam tempoh seminggu.
Anwar berkata, persetujuan itu dicapai hasil komitmen kedua-dua menteri bertanggungjawab dalam sektor berkenaan bagi memastikan penyelesaian isu terbabit dapat dilaksanakan tanpa berlengah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




