am@hmetro.com.my
Kuala Langat: Remaja perempuan yang didakwa terbabit dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah di daerah ini didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh di Mahkamah Telok Datok di sini, pagi ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas suspek hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat.
Mahkamah kemudian memerintahkan suspek dirujuk ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta di Perak bagi menjalani penilaian selama sebulan.
Perintah itu dibuat selepas permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan mengambil kira mangsa dalam kes berkenaan merupakan orang kurang upaya (OKU).
Turut hadir dalam prosiding itu ialah ibu kepada suspek.
Mengikut pertuduhan, suspek didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap mangsa menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan dengan niat menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid, manakala suspek diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




