KUALA LUMPUR – Pekerja tempatan digesa supaya terus mencarum Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) walaupun ia bukan lagi lagi bersifat mandatori.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz berkata, skim itu mampu memberikan jaminan kesinambungan kehidupan melalui gantian pendapatan sekiranya pencarum ditimpa musibah di luar waktu bekerja.
Menurutnya, caruman berkadar kecil berbanding premium perlindungan sedia ada dalam pasaran tidak sewajarnya dilihat sebagai bebanan tetapi jaminan kehidupan kepada keluarga.
ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja boleh pilih keluar skim LINDUNG 24 Jam mulai Isnin ini – PERKESO
PERKESO tidak bebankan pekerja, caruman skim LINDUNG 24 Jam terendah di dunia
LINDUNG 24 Jam sukarela bagi pekerja tempatan, kekal mandatori untuk pekerja asing
Kerajaan digesa pertahan LINDUNG 24 Jam, jangan kompromi keselamatan pekerja – UNI-MLC
Katanya, hasrat PERKESO melaksanakan LINDUNG 24 Jam adalah untuk memastikan semua pekerja mendapat perlindungan jika berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu kerja.
“Ini adalah perlindungan yang menambah baik perlindungan sedia ada. Seperti diumumkan skim ini kini jadi pilihan tetapi saya berharap pekerja di luar sana faham akan kepentingan perlindungan ini.
“Fikirlah keluarga, fikirlah anak, isteri dan ibu bapa yang bergantung kepada kita jika kita menjadi pencari nafkah kepada keluarga,” katanya ketika sidang akhbar di Menara PERKESO di sini pada Jumaat.
Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan pelaksanaan skim berkenaan tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan maklum balas yang diterima berkaitan pelaksanaan caruman skim berkenaan.
Sebelum ini, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan automatik bagi kemalangan bukan bencana kerja mulai 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan sebelum ini memaklumkan bahawa skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bertujuan memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Beliau berkata, skim itu dibiayai sepenuhnya menerusi caruman pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji sebanyak RM6,000.
Ditanya mengenai keputusan Kabinet untuk mengubah dasar kepada pilihan daripada mandatori untuk pekerja tempatan Mohammed berkata, ia mungkin mengambil kira keluhan rakyat.
“Saya rasa Kerajaan Madani melihat lebih kepada kebajikan rakyat kerana ramai yang mengeluh bahawa ini satu bebanan.
“Tapi seperti di awal saya beritahu tadi, anggaplah ini satu pelaburan masa depan anak-anak, isteri dan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PERKESO tetap membuka peluang kepada pencarum untuk menyertai semula skim berkenaan, meskipun telah mengisi perakuan pelepasan liabiliti untuk keluar.
Jelasnya, peluang sentiasa terbuka kepada mana-mana pekerja yang ingin kembali mencarum skim tersebut.
Mengikut statistik beliau berkata, purata sekitar 27 kes setiap hari direkodkan pihaknya untuk penyaluran faedah LINDING 24 Jam hampir RM2 juta dalam tempoh sebulan skim berkenaan berkuat kuasa.
“Statistik setakat 9 Julai, sebanyak 207,000 majikan sertai skim ini membabitkan seramai 2.27 juta pekerja dengan jumlah caruman terkumpul sebanyak RM58 juta,” katanya.



