PLBM sasar dua pingat Sukan Komanwel

PLBM sasar dua pingat Sukan Komanwel

Kuala Lumpur: Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) menzahirkan keyakinan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 tanpa menetapkan sasaran warna.

Presiden PLBM yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz menyifatkan sasaran itu sebagai realistik biarpun mengakui edisi kali ini lebih mencabar buat skuad negara susulan pengurangan jumlah acara daripada lapan kepada hanya empat kategori.

Kekangan jumlah acara itu turut ditambah dengan perubahan format pertandingan yang mewajibkan pemain muncul juara kumpulan untuk layak ke separuh akhir, namun beliau melihat situasi berkenaan sebagai peluang untuk mengesahkan kedudukan pingat dengan lebih pantas sekiranya halangan awal berjaya dilepasi.

“Sebaik sahaja layak ke separuh akhir, peluang mereka untuk memenangi pingat gangsa amat tinggi, malah peluang ke perlawanan akhir juga agak cerah.

“Sistem yang dipakai tahun ini menyaksikan pemenang nombor satu kumpulan akan terus mara ke separuh akhir. Jadi, apabila mereka berjaya melepasi halangan kumpulan, peluang untuk meraih pingat adalah sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan CDM di sini, hari ini.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita yang juga pemain nombor satu dunia Emma Firyana Saroji mengakui format baharu itu menguji kemampuannya memandangkan setiap pemain perlu mengekalkan konsistensi tinggi sepanjang saingan peringkat kumpulan.

“Berada pada kedudukan nombor satu dunia ketika ini sudah tentu meletakkan tumpuan terhadap diri saya, namun saya menganggap tekanan itu sebagai satu tanggungjawab besar untuk digalas demi negara,” katanya yang menjangkakan saingan sengit daripada pemain Wales dan India.

Pemain perseorangan lelaki negara Izzat Shameer Dzulkeple pula menyifatkan undian kumpulannya berada pada tahap kompetitif kerana bakal menyaksikan pertemuan semula dirinya dengan juara dunia dari Kanada.

“Pemain Kanada itu sangat berpengalaman dan pernah menewaskan saya pada peringkat suku akhir Kejohanan World Bowls 2023. Beliau mempunyai kelebihan dari segi teknik driving serta pengalaman.

“Namun, menerusi perbincangan bersama jurulatih, kami sudah merangka strategi khusus untuk menyekat kekuatannya dan saya percaya teknik draw (seri) saya adalah lebih baik,” katanya.

Empat acara yang akan dipertandingkan di Glasgow melibatkan kategori perseorangan lelaki dan wanita serta berpasangan lelaki dan wanita.

Mengenai senarai pemain, Izzat Shameer bakal menggalas cabaran dalam kategori perseorangan lelaki, manakala Muhammad Soufi Rusli dan Amirul Danial Abdul Rahim bagi acara berpasangan lelaki.

Emma Firyana pula bakal mengambil bahagian dalam kategori perseorangan wanita, diikuti gandingan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman serta Aleena Ahmad Nawawi bagi kategori berpasangan wanita dan Jariah Zakaria-Norazian Daud bagi acara berpasangan wanita para.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top