Planworth, MTDC jalin kerjasama sedia pembiayaan RM1 bilion bantu PMKS

Planworth, MTDC jalin kerjasama sedia pembiayaan RM1 bilion bantu PMKS

Kuala Lumpur : Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan masalah aliran tunai dan kekangan modal kini berpeluang menarik nafas lega melalui penyelesaian pembiayaan fleksibel.

Ia susulan jalinan kerjasama strategik antara Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) bersama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bagi memperluas akses pembiayaan projek yang mampan kepada golongan usahawan terbabit.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts Hazani Hassan di sini, baru-baru ini.

Menurut Elaine Lim, inisiatif ini sangat penting terutamanya ketika ramai usahawan PMKS berdepan cabaran kekangan modal kerja untuk melaksanakan projek walaupun mempunyai potensi perniagaan besar.

“Melalui gabungan kepakaran dan rangkaian kedua-dua organisasi, kami berharap kerjasama ini dapat membantu lebih banyak PMKS merealisasikan peluang perniagaan dan melaksanakan projek dengan lebih yakin,” katanya.

Bagi tahun 2026, Planworth memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM1 bilion bagi membantu lebih banyak PMKS mendapatkan akses modal kerja.

Sementara itu, Hazani Hassan memaklumkan kerjasama berkenaan melengkapkan usaha agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu dalam memperkasa ekosistem teknologi dan inovasi negara.

“Kerjasama bersama Planworth ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada PMKS untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan projek yang sesuai, sekali gus membantu mereka meningkatkan keupayaan pelaksanaan, daya saing dan potensi pertumbuhan,” katanya.

Sebagai rakan pembiayaan strategik, Planworth menyediakan pelbagai penyelesaian komprehensif tanpa cagaran termasuk pembiayaan kontrak dan modal kerja, pembiayaan invois, kemudahan berkaitan jaminan bank, bon pelaksanaan projek dan pembiayaan rantaian bekalan.

Kemudahan ini direka khas bagi memastikan pelaksanaan projek PMKS dalam sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta swasta berjalan lancar tanpa menjejaskan operasi harian mereka.

Planworth yang juga sebahagian daripada Grand Columbia Group telah menyokong nilai kontrak melebihi RM5 bilion menerusi lebih 50,000 transaksi kepada ribuan PMKS di Malaysia.

Syarikat peneraju pasaran ini turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah industri termasuk Enterprise 50 (E50) Award 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top