Pemimpin Melayu DAP tak setuju kempen PRN guna imej Najib, Rosmah -“Ini perlu diubah”

Pemimpin Melayu DAP tak setuju kempen PRN guna imej Najib, Rosmah -“Ini perlu diubah”

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan menegaskan beliau tidak bersetuju dengan penggunaan imej Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Malah, beliau berpandangan budaya politik di negara ini perlu berubah ke arah yang lebih matang dan berhemah.

Tak setuju cara berpolitik seperti ini

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Syahredzan menyatakan, sebarang perbezaan pandangan sepatutnya disuarakan melalui saluran yang lebih sesuai tanpa melibatkan kaedah yang boleh mencetuskan budaya politik tidak sihat.

“Saya tidak bersetuju dengan cara berpolitik seperti ini. Budaya politik kita perlu lebih sihat dan matang.
“Kalau tidak bersetuju sekalipun, pandangan itu boleh disuarakan melalui media sosial atau secara bersemuka. Budaya politik seperti ini perlu diubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama peniaga di Taman Kota Masai, Johor, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden DAP, Steven Sim Chee Keong serta calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani.

Wajah Rosmah digunakan sebagai bahan kempen PRN

Terdahulu, Rosmah mengecam tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang didakwa menggunakan wajah dan imejnya dalam bahan kempen PRN Johor.

Beliau turut menegaskan seorang menteri seharusnya menunjukkan contoh politik yang matang dan tidak menyebarkan bahan berbentuk fitnah atau manipulasi.

Dalam perkembangan sama, Syahredzan turut menyentuh tentang insiden vandalisme terhadap bahan kempen Nor Zulaila yang disifatkannya sebagai tindakan tidak sihat. Beliau percaya perbuatan itu bukan dilakukan oleh mana-mana parti politik, sebaliknya individu yang terlalu bersemangat.

Mengulas persiapan menjelang hari pengundian esok, Syahredzan memaklumkan jentera kempen kini berada di fasa terakhir dan tiada lagi perubahan strategi akan dilakukan.

Sumber: Malaysia Gazette (Zulhisham Isahak)

Scroll to Top