PM Anwar gesa henti kempen guna ‘isu Najib’ -“Najib dalam penjara, jangan kacau beliau…”

PM Anwar gesa henti kempen guna ‘isu Najib’ -“Najib dalam penjara, jangan kacau beliau…”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak lagi menjadikan isu pembebasan Datuk Seri Najib Razak sebagai modal kempen politik.

Memetik laporan daripada Bernama, tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha membela nasib rakyat dan mengukuhkan ekonomi negara berbanding terus mempolitikkan isu melibatkan bekas Perdana Menteri itu yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

“Itu Datuk (Seri) Najib (Razak) sekarang dalam penjara, jangan kacau dia… kalau tanya saya, sudah-sudahlah… tapi hutang (1MDB) kita bayar sekarang… sampai sekarang belum habis bayar,” katanya ketika berucap di program Yok! Merahkan Johor! Undi Harapan di Kulai.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim serta calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

Dalam pada itu, Anwar juga memaklumkan kerajaan masih menanggung beban hutang 1MDB yang mencecah RM51 bilion, sekali gus menjejaskan kemampuan untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada rakyat.

“Kalau ada itu wang (dan) tak payah bayar (hutang) 1MDB, kita boleh bagi untuk sekolah, hospital, buat jalan dan bagi makan orang miskin… sekarang tak boleh,” katanya.

Sumber: Bernama 

Scroll to Top