Kurang lapan jam, suspek rogol remaja ditahan

Kurang lapan jam, suspek rogol remaja ditahan

am@hmetro.com.my

Papar: Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki kurang lapan jam selepas menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di daerah ini.

Suspek warga tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di kawasan Kinarut kira-kira jam 11.30 malam tadi, hanya beberapa jam selepas mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 4.20 petang.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mendakwa menjadi mangsa perbuatan itu dalam beberapa kejadian yang dipercayai berlaku antara Mac hingga Julai lalu.

Katanya, sebaik laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar terus menggerakkan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek pada malam yang sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

“Mangsa dirujuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan, manakala suspek akan dipohon reman bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merakam percakapan saksi serta menjalankan pemeriksaan di lokasi berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya, polis memandang serius sebarang kesalahan seksual, khususnya yang membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah umur.

“Ibu bapa serta penjaga disaran sentiasa memantau pergaulan anak-anak, termasuk aktiviti mereka di media sosial, selain segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk jenayah atau eksploitasi seksual.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti mangsa kerana perbuatan itu boleh menjejaskan siasatan serta melanggar hak privasi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Desmond Tanggapan di talian 019-4883322 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top