Pengundi Johor kecewa majikan Singapura tidak benar ambil cuti

Pengundi Johor kecewa majikan Singapura tidak benar ambil cuti

JOHOR BAHRU: Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bekerja di Singapura meluahkan kekecewaan apabila tidak dapat menunaikan hak mengundi susulan pihak majikan enggan memberi kebenaran bercuti, hari ini.

Seorang pengundi, V. Rabindran, 35, berkata, ini bukan kali pertama dia menerima halangan sedemikian, sebaliknya sudah beberapa kali.

“Sepanjang bekerja di Singapura, saya sudah terlepas hak mengundi beberapa kali kerana pihak majikan tidak membenarkan saya mengambil cuti.

“Mungkin mereka boleh berikan kelonggaran kepada golongan pekerja Malaysia di republik itu untuk tunaikan tanggungjawab masing-masing. Jika ada syarat tertentu yang bersesuaian kami sedia terima,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Seorang lagi pengundi, Resmond Wong, 45, pula berkata, majikannya tidak membenarkan pekerja Malaysia mengambil cuti, sebaliknya boleh tamat kerja lebih awal berbanding waktu pekerjaan biasa.

“Saya sedar ini tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, namun kami tidak dibenarkan cuti oleh pihak majikan kerana mereka kekurangan kakitangan. Walaupun boleh pulang awal berbanding hari biasa, tetapi trafik di Tambak Johor tidak dapat dijangka,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Azizul Rahman, 30, berkata, dia akan memohon cuti tahunan lebih awal pada pilihan raya akan datang bagi membolehkannya menunaikan tanggungjawab mengundi dengan tenang.

“Saya tidak dapat mengundi pada PRN Johor kali ini, tetapi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, saya akan ambil cuti tahunan lebih awal sebaik sahaja tarikh diumumkan.

“Tetapi situasi ini bukan terpakai kepada semua pekerja Malaysia di Singapura, kerana ada rakan-rakan saya yang lain majikan mereka membenarkan kakitangan mereka mengambil cuti,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top