KALAU hidup ibarat roda, selebriti, Didie Alias sudah pernah merasai semua putaran itu. Baik ketika di atas, begitu pula ketika dia dibantai ujian membuatnya jatuh terduduk. Didie atau Fadzilah Mohd Ali, 54, mungkin banyak dikenali generasi hari ini sebagai pelawak dan usahawan yang rajin membantu rakan artis.
Bagaimanapun, Didie jauh lebih berbakat daripada itu. Pernah mencuri tumpuan di pertandingan Dewi Remaja, dia kemudian menjadi semakin popular selepas membintangi filem Kanta Serigala sekali gus disenarai sebagai artis berwajah pan Asia mencuri tumpuan pada 90-an.
Di kala ramai selebriti tidak jumpa jalan pulang ketika dalam industri selepas hiatus, namun entah kenapa hujung-hujung Didie Alias yang mesra disapa sebagai Mummy tetap kembali. Jawablah Mummy Didie!
Tahun ini sudah 35 tahun Mummy dalam industri, tak tahulah nak tolak atau tidak fasa Mummy hilang dulu. Apa yang Mummy boleh rangkumkan tentang perjalanan ini?
Ya, dulu boleh dikata pernah rasa kemuncak zaman filem. Tapi tidak lama di puncak sebab selepas berkahwin, kerjaya menjunam. Susah hendak mula balik, jadi saya terpaksa kenalkan diri semula dengan pergi uji bakat. Tapi tidak mudah. Sementara itu, saya buat apa sahaja termasuklah jadi kru produksi di bawah Datuk Rosyam Nor.
Orang sekarang mungkin tahu episod perceraian Mummy dengan pelakon popular era 90-an, Allahyarham Ridzuan Hashim. Tapi tidak tahu lebih dalam keadaan waktu itu, boleh Mummy cerita?
Saya boleh kata, pernah rasa momen ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Ketika itu tiada kereta, motor atau apa-apa kenderaan. Harta yang ada cuma lima anak yang semuanya umur darjah enam ke bawah. Bila sudah tiada duit, saya berniaga. Tapi keadaan ketika itu Ya Allah, kais pagi makan pagi.
Saya berniaga sate, itupun minta tumpang jual di depan kedai seorang perempuan Melayu. Macam ada benteng, saya sewa tapak. Hari-hari bawa sate 1,000 cucuk. Heret semua sendiri dan tinggalkan anak di rumah.

Apa yang buat Mummy berhenti berniaga tiba-tiba?
Ceritanya, kedai sebelah itu bengkel motor. Ada satu hari, seingat saya Sabtu. Rupanya tuan bengkel motor itu tidak suka saya berniaga. Jadi, perempuan pemilik kedai makan yang saya bayar sewa tiba-tiba tidak bagi saya berniaga. Sedangkan saya sudah bawa 1,000 cucuk sate dan itu sahajalah duit untuk beri makan anak-anak. Tak adil langsung.
Kemudian? Mummy cari tapak lain?
Waktu itu saya tarik nafas panjang duduk dekat depan kedai berdoa ‘Ya Allah, berilah aku kekuatan, kenapa aku diuji begini?’ Memang rasa macam hilang kewarasan kejap. Saya bangun semula, ambil kuah sate itu dan simbah dekat kedai mereka. Saya ingat lagi saya jerit ‘Kau nak gaduh dengan aku? Mari sini’. Boleh dikatakan saya hilang sabar sebab itu sahaja rezeki untuk keluarga. Tapi bila ingat balik sekarang, lucu pun ada. Kalau diikutkan, ketika itu kalau mereka laporkan pada polis, saya akan minta polis ambil sekali anak-anak saya.
Bila Mummy buat semua kerja sendiri, kalau sakit, siapa yang bantu?
Peliknya, saya tidak pernah sakit, tapi orang ‘sakit hati’ dengan saya. Selepas kes sate, saya sambung berniaga di medan selera. Tapi tiba-tiba orang telefon bertanya kenapa saya tidak buka kedai sudah dua minggu? Saya pun pelik sebab hari-hari ada sahaja kedai buka. Jadi selepas itu, saya cuba lambai-lambai orang lalu lalang tapi tiada yang toleh pandang. Macam kedai saya sudah ‘digelapkan’.
Begitu pula, maksudnya Mummy sudah terkena sihir ada yang dengki?
Masa itu manalah kita tahu. Cuma pagi-pagi sebelum berniaga, saya akan nampak kacang hijau bersepah. Saya sapu sahajalah tak ada pula mahu fikir apa-apa. Cuma makin lama makin pelik, contoh saya jual otak-otak baru sahaja sampai dan hidang, tiba-tiba pelanggan kata sudah masam. Bukan itu sahaja, kuih sate baru masak tadi tiba-tiba sudah basi. Lebih teruk, semua yang saya masak pagi itu, semuanya basi. Saya jadi kecewa sangat dan buat keputusan berhenti berniaga. Itulah sebabnya saya jadi kru di bawah Datuk Rosyam Nor.
Mummy ingat macam mana masuk kembali dalam industri?
Ya, tidak mudah. Saya ambil masa enam tahun. Selepas lima tahun bantu uruskan Suhan Movies, saya ingat lagi Michael Ang adalah sebab kenapa saya masuk industri, ketika itu dia masih baru buat drama Wasiat Anak Dara. Tengah buat senarai pemilihan artis dia jerit ‘Didie Alias dekat belakang itu, ambil berlakon’. Saya hanya buat tiga babak sahaja tapi itulah pencetus membuatkan saya kembali melonjak. Mengacarakan Anugerah Bintang Popular dan kembali aktif sampai hari ini. Alhamdulillah.




