MAHA SARAKHAM – Pihak berkuasa Thailand menyuarakan kebimbangan selepas kira-kira satu pertiga pelajar tahun pertama di sebuah universiti di wilayah Maha Sarakham didapati positif dijangkiti parasit cacing hati.
Parasit itu lazim ditemui dalam ikan air tawar mentah yang sering dimakan di wilayah timur laut Thailand, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki hidangan tradisional somtam yang menggunakan ikan peram (pla ra) sebagai antara punca jangkitan.
Memetik laporan Bangkok Post, perkara itu mendorong kerajaan tempatan mengambil langkah bagi memastikan tahap kebersihan makanan di premis makanan sekitar kawasan berkenaan dipertingkatkan.
Keputusan awal diperoleh menerusi kit ujian antigen air kencing (UAT), kaedah saringan lebih pantas yang dibangunkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, manakala pemeriksaan sampel najis masih diperlukan bagi mengesahkan jangkitan opisthorchiasis.
Di Universiti Maha Sarakham, seramai 4,233 daripada 12,733 pelajar tahun pertama didapati positif, iaitu kira-kira 33 peratus.
Sementara itu, di Universiti Rajabhat Maha Sarakham, seramai 380 daripada 1,922 pelajar tahun pertama turut didapati positif, bersamaan kira-kira 19 peratus.
Kedua-dua jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding kadar purata jangkitan dalam kalangan penduduk wilayah Maha Sarakham yang dianggarkan sekitar 11 peratus.
Susulan penemuan itu, Gabenor Maha Sarakham, Chumpit Decharat berkata, pemeriksaan kesihatan diarahkan ke atas semua kedai somtam berhampiran kedua-dua universiti serta restoran yang menggunakan pla ra dalam hidangan mereka.
Restoran yang memenuhi piawaian keselamatan akan diberikan tanda pengiktirafan untuk dipamerkan kepada pelanggan bahawa premis berkenaan menghidangkan pla ra yang telah dimasak dan selamat dimakan.
Timbalan Pengarah Hospital Maharat Nakhon Ratchasima, Dr Jade Boonyawongvirot berkata, sumber jangkitan yang disahkan secara saintifik ialah pengambilan ikan air tawar mentah atau tidak dimasak sempurna.
Bagaimanapun, beliau berkata, pla ra tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana sekiranya ia dihasilkan mengikut piawaian kebersihan, diperam dengan betul dan direbus sebelum dimakan, risiko jangkitan adalah sangat rendah.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan mengubah tabiat pemakanan boleh membawa kepada kesan jangka panjang, termasuk risiko kanser saluran hempedu (cholangiocarcinoma) selepas tempoh 15 hingga 20 tahun.
Menurutnya, penyakit itu sukar dirawat dan mempunyai kadar kematian yang tinggi.
Cacing hati merupakan parasit yang lazim ditemui di Thailand, khususnya di wilayah timur laut dan utara, selain negara jiran seperti Laos dan Kemboja.



