ATM perkukuh kesiapsiagaan hadapi cabaran keselamatan kompleks

ATM perkukuh kesiapsiagaan hadapi cabaran keselamatan kompleks

KUANTAN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi landskap keselamatan yang semakin kompleks dan sukar dijangka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Angkatan Masa Hadapan ATM perlu dibangunkan berasaskan konsep kesepaduan antara tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara.

“Dalam kita menangani segala cabaran yang ada, setiap perkhidmatan tak lagi dilihat bergerak secara bersendirian.

“Apa pun perancangan kita, mesti berasaskan kepada kesepaduan antara ketiga-tiga perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara supaya kita mempunyai kekuatan dalam melaksanakan dan menghadapi apa saja cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 Edisi Pantai Timur di Pangkalan TUDM Kuantan di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin.

Mohamed Khaled memberitahu, ancaman keselamatan kini bukan lagi tertumpu kepada peperangan konvensional, sebaliknya melibatkan pelbagai jenis peperangan baharu antaranya serangan siber, manipulasi maklumat, peperangan hibrid, gangguan rantaian bekalan, bencana alam serta persaingan kuasa besar.

Justeru, ujarnya, Angkatan Masa Hadapan tidak bergantung hanya kepada aset-aset yang lebih canggih ataupun hebat, malah bukan sekadar memperkukuhkan keupayaan di peringkat konvensional.

Menurutnya, angkatan berkenaan turut berhadapan dengan pelbagai jenis peperangan baharu antaranya peperangan hibrid yang menggabungkan pelbagai bentuk ancaman seperti ketenteraan siber, propaganda dan tekanan ekonomi secara serentak.

Mohamed Khaled bergambar bersama warga ATM selepas Majlis Perasmian Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 Edisi Pantai Timur di Pangkalan TUDM Kuantan di sini pada Isnin.

Mohamed Khaled bergambar bersama warga ATM selepas Majlis Perasmian Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 Edisi Pantai Timur di Pangkalan TUDM Kuantan di sini pada Isnin.

“Ataupun peperangan asimetrik di mana pihak yang lebih lemah menggunakan kaedah tidak konvensional untuk menandingi kekuatan pihak yang lebih besar.

“Mungkin kita boleh anggap negara kita ada jurang kelengkapan dengan negara-negara lain dan maka kita perlu menggunakan kaedah pendekatan peperangan asimetrik.

“Kita berhadapan dengan peperangan kognitif yang mensasarkan pemikiran persepsi dan keyakinan rakyat untuk memecah-belahkan masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, kekuatan Angkatan Masa Hadapan bukan hanya bergantung kepada aset dan teknologi, tetapi turut melihat kepada keupayaan anggota ATM sendiri untuk meningkatkan ilmu, kemahiran serta berubah mengikut keperluan pertahanan semasa.

“Jadi anggota-anggota seperti tuan-tuan dan puan-puan mesti bersedia untuk belajar meningkatkan keupayaan diri dan berubah mengikut keperluan pertahanan semasa.

“Dan kekuatan Angkatan Masa Hadapan ini bukan hanya pada aset dan teknologi tetapi juga melihat kepada anggota-anggota itu sendiri. Bila kita cakap pasal Angkatan Masa Hadapan tuan-tuan dan puan-puanlah yang merupakan sebahagian daripada Angkatan Masa Hadapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, agenda pertahanan negara perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan hanya berkaitan aset dan operasi ketenteraan, sebaliknya turut melibatkan aspek manusia, keluarga, industri, teknologi, ekonomi serta institusi sokongan yang kuat.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan telah menggariskan hala tuju melalui Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026–2030, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan 2026–2030, Dasar Industri Pertahanan Negara serta pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS).

Katanya, dalam kerangka itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempunyai peranan penting kerana institusi berkenaan menjaga asas kesejahteraan kewangan warga ATM.

“Apabila simpanan anggota diurus dengan baik, keluarga diberi sokongan dan veteran dibantu membina kerjaya kedua, maka kesiapsiagaan pertahanan negara juga menjadi lebih kukuh,” ujarnya.

 

 

Scroll to Top