Syed Saddiq pemimpin muda berprinsip, ada potensi jadi Perdana Menteri masa depan – Syed Ali

Syed Saddiq pemimpin muda berprinsip, ada potensi jadi Perdana Menteri masa depan – Syed Ali

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman boleh dijadikan contoh anak muda yang berprinsip, bertanggungjawab dan berpegang teguh kepada sistem keadilan undang-undang dan kemuliaan mahkamah di negara ini.

Bekas Senator Dewan Negara, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, bukan perkara mudah untuk mana-mana individu turun naik mahkamah dalam jangka tempoh enam tahun dan dalam masa yang sama bergelut dengan amanah selaku wakil rakyat.

Katanya, walaupun beliau tidak mengenali Syed Sadiq secara dekat, tetapi difahamkan beliau tidak pernah mengelak atau minta penangguhan semasa prosiding perbicaraan berjalan.

“Malah selaku Ahli Parlimen, dia juga saya difahamkan sentiasa menghadirkan diri sepanjang persidangan di Dewan Rakyat selain bersungguh-sungguh membantu penduduk di Muar

“Justeru, saya melihat Syed Sadiq adalah contoh anak muda yang cekal, jujur dan berpegang teguh kepada prinsip dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan pecah amanah, salah guna dana Armada dan pengubahan wang haram.

Ia selepas panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan dengan majoriti 2-1.

Dalam pada itu, Syed Ali berkata, jika mana-mana pihak yang selama enam tahun turun naik mahkamah selaku orang kena tuduh dan terbayang sel penjara, sudah tentu ‘tidak boleh tidur lena’ dan ‘apa kerja pun tak boleh buat’.

“Bagaimanapun saya melihat Syed Sadiq sentiasa tenang, tabah bersama keluarga dan masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik selaku Ahli Parlimen Muar.

“Pada pengamatan saya juga, Syed Sadiq merupakan pemimpin politik muda yang berdaya tahan, memiliki keperibadian yang baik disamping bertanggungjawab membantu rakyat yang diwakilinya.

“Melihat kepada gerak kerja politik dan ketabahannya disamping berpegang teguh kepada prinsip ‘berani kerana benar’, saya berpendapat Syed Sadiq mempunyai potensi besar dalam persada politik negara dan berkeupayaan memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top