sukan@hmetro.com.my
Seremban: Pengurusan Bunga Raya FC masih menaruh harapan agar pasukan itu dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim 2026/2027 selepas berusaha membuat persiapan untuk memenuhi syarat ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Kelab itu menyatakan sudah memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa bagi musim 2026-2027 yang dikeluarkan First Instance Body (FIB) kepada beberapa kelab bertaraf semi-pro dari Liga A1 bagi untuk memohon slot beraksi dalam saingan Liga Super.
“Selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa, pihak kelab bertungkus-lumus membina asas kukuh untuk cuba memenuhi setiap syarat ditetapkan MFL terutama dari segi kewangan dan pemain.
“Kami berjaya memperoleh komitmen penajaan awal yang menghampiri RM4 juta tidak termasuk persetujuan lain yang akan menyusul jika kelab dapat beraksi dalam Liga Super.
“Bagaimanapun dalam keputusan dikeluarkan MFL baru-baru ini, terdapat hanya 12 pasukan yang layak bersaing dalam Liga Super bagi musim 2026-2027 dan Bunga Raya FC tidak tersenarai,” kata kelab itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, komitmen penajaan itu adalah satu keyakinan daripada sektor korporat terhadap hala tuju, tadbir urus dan perancangan jangka panjang Bunga Raya FC.
Menurutnya, kelab mempunyai asas kewangan kukuh serta perancangan jangka panjang untuk berkembang sebagai sebuah kelab bola sepak profesional yang mampan.
“Perjuangan kami bukan sekadar untuk mendapatkan tempat di Liga Super, tetapi memastikan lebih banyak peluang dapat diwujudkan kepada pemain, jurulatih, pegawai pasukan dan bakat muda tempatan untuk berkembang dalam ekosistem bola sepak Malaysia.
“Kami percaya bola sepak negara akan terus maju apabila lebih banyak peluang diwujudkan kepada kelab yang mempunyai visi, komitmen dan kemampuan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan ini,” katanya yang memaklumkan Bunga Raya FC bersedia untuk menampilkan seramai 35 hingga 40 pemain mewakili pasukan itu, selain barisan kejurulatihan yang sudah dikenal pasti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




