SHAH ALAM- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPIPETRONAS 2025 yang akan berlangsung Jumaat ini di Hotel The Majestic Kuala Lumpur.
Majlis anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada ketua pengarang, editor, wartawan, pengamal media, wakil kementerian dan agensi kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi serta rakan strategik industri media.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata, kehadiran Perdana Menteri mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap peranan penting media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara dan pembentukan masyarakat yang bermaklumat.
Menurutnya, Malam Wartawan Malaysia bukan sekadar majlis penghargaan tetapi simbol pengiktirafan kepada profesionalisme, keberanian dan integriti wartawan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Dalam era lambakan maklumat dan teknologi buatan (AI), kewartawanan yang beretika dan berasaskan fakta menjadi semakin penting dalam mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap media,” katanya pada Selasa.
Bertemakan ‘Newsroom’ MWM 2026 mengetengahkan bilik berita sebagai nadi kewartawanan yang terus berperanan memastikan setiap laporan disemak, disahkan dan diterbitkan secara beretika, meskipun industri media kini berdepan perubahan pesat akibat ledakan platform digital, media sosial dan AI.
Kemuncak majlis ialah penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2025, anugerah kewartawanan paling berprestij di negara ini yang mengiktiraf karya terbaik dalam 21 kategori merangkumi media cetak, penyiaran, radio, multimedia, foto, dokumentari, kewartawanan penyiasatan, kewartawanan ESG dan lain-lain.
Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan Hadiah Kajai iaitu pengiktirafan tertinggi kepada wartawan yang menghasilkan karya paling cemerlang dan berimpak.
HKM MPI-PETRONAS 2025 menerima tajaan utama daripada PETRONAS berjumlah RM450,000 sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh ekosistem kewartawanan dan pembangunan media berkualiti di Malaysia.
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri akan meraikan para penulis buku Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan, terbitan khas MPI yang menghimpunkan pengalaman 23 pengamal media daripada pelbagai organisasi sebagai dokumentasi perjalanan profesion kewartawanan dan warisan ilmu kepada generasi akan datang.
MWM merupakan acara tahunan paling berprestij anjuran MPI yang menjadi platform menghargai sumbangan pengamal media, mengiktiraf kecemerlangan kewartawanan serta memperkukuh hubungan strategik antara industri media, kerajaan dan sektor korporat.



