PRN Melaka: Tiada lagi kerjasama dengan BN, DAP gerak solo – Poay Tiong

PRN Melaka: Tiada lagi kerjasama dengan BN, DAP gerak solo – Poay Tiong

AYER KEROH – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Melaka akan meninggalkan blok kerajaan dan mengambil tempat di blok pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Rabu.

Keputusan itu dibuat selepas DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta susulan DUN Melaka meluluskan usul berkaitan ADUN Lantikan pada Selasa.

Selain empat ADUN DAP, ADUN Bukit Katil, Adly Zahari daripada Parti Amanah Negara (Amanah) turut mengambil pendirian sama.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, surat mengenai keputusan itu telah disiapkan dan akan diserahkan kepada Speaker DUN pada hari sama.

Menurutnya, tindakan itu bermakna lima ADUN PH tidak lagi menjadi sebahagian daripada blok kerajaan negeri sekali gus menarik sokongan terhadap pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Ya, mereka akan masuk ke dewan seperti biasa (esok), cuma tempat duduk akan bertukar daripada blok kerajaan kepada blok pembangkang.

“Surat sudah siap dan akan diserahkan hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Sidang DUN Melaka di Seri Negeri di sini pada Selasa.

Mengulas hubungan politik antara DAP dan BN di Melaka selepas keputusan itu, Poay Tiong menegaskan tiada lagi kerjasama politik antara kedua-dua parti dan DAP akan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau turut memaklumkan keputusan berkenaan telah dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi DAP.

Ketika ditanya sama ada tindakan itu juga mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH, beliau berkata, urusan pentadbiran kerajaan negeri diserahkan kepada kepimpinan negeri.

“Perdana Menteri mempunyai banyak perkara yang lebih besar dan lebih serius untuk diuruskan. Hal kerajaan negeri biarlah kita uruskan,” katanya.

Mengulas alasan tindakan tersebut, beliau berkata, DAP kekal konsisten menolak Rang Undang-Undang Pindaan berkaitan ADUN Lantikan kerana disifatkan bercanggah dengan prinsip demokrasi.

“Kita sudah lama konsisten dalam isu ini. Pindaan berkaitan ADUN Lantikan itu bercanggah dengan prinsip demokrasi dan sebab itu kita mengambil pendirian ini,” katanya.

Scroll to Top