Bola final, kostum Shakira bakal dilelong selepas Piala Dunia

Bola final, kostum Shakira bakal dilelong selepas Piala Dunia

New York: Pelbagai barangan Piala Dunia termasuk bola yang digunakan pada aksi final serta kostum dipakai artis ketika persembahan separuh masa akan dilelong, umum rumah lelong terkenal, Christie’s, hari ini.

Lelongan secara dalam talian yang berlangsung selama seminggu itu akan bermula pada 22 Julai dengan hasil kutipan disalurkan kepada Dana Pendidikan Global Citizen FIFA, inisiatif yang menyasarkan kutipan AS$100 juta (RM407.8 juta) bagi membantu kanak-kanak di seluruh dunia menerusi Piala Dunia.

Antara barangan utama yang bakal menjadi tumpuan ialah baju pendek berwarna kuning dan seluar dipakai penyanyi pop Colombia, Shakira, dalam video muzik lagu Dai Dai, lagu rasmi Piala Dunia 2026.

Kostum yang bakal dipakai Shakira ketika membuat persembahan pada pertunjukan separuh masa pertama dalam sejarah final Piala Dunia, yang berlangsung selama 11 minit dan turut menampilkan Madonna, Justin Bieber serta BTS, juga akan dilelong.

Beberapa bola perlawanan turut ditawarkan termasuk bola yang digunakan pada aksi final 19 Julai di Stadium MetLife, New Jersey, serta bola daripada perlawanan pembukaan di Mexico bulan lalu.

Turut dilelong ialah jersi Argentina edisi 2022 yang ditandatangani bintang sensasi, Lionel Messi, selain jersi Amerika Syarikat yang ditandatangani pemain skuad kebangsaan negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top