London: Sekeping gambar pertahanan England, Djed Spence sedang menadah tangan berdoa tanda bersyukur selepas kemenangan 2-1 ke atas Norway yang membawa pasukannya ke separuh akhir Piala Dunia, menjadi simbol kepelbagaian dalam skuad kebangsaan England.
Beberapa media menyifatkan imej itu sebagai ikonik dan bersejarah kerana Spence ialah pemain Islam pertama dalam sejarah England yang mewakili negaranya di pentas Piala Dunia.
Doa yang dilakukannya turut dianggap detik penting yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Britain, memandangkan sebelum ini England tidak pernah mempunyai pemain Islam di Piala Dunia.
Spence, 25, bukan sahaja mencipta sejarah sebagai pemain Islam pertama beraksi untuk England di Piala Dunia, malah turut membuktikan dirinya sebagai tonggak penting di benteng pertahanan serta aset taktikal buat pengendali, Thomas Tuchel.
Pada September 2025, Spence menjadi pemain Islam pertama menyarung jersi England apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Serbia.
Selepas kemenangan bergaya 5-0 dalam perlawanan itu, pertahanan kanan Tottenham Hotspur berusia 25 tahun itu berkata kepada BBC: “Saya tidak tahu saya adalah yang pertama, jadi ia satu kejutan yang menggembirakan. Ia benar-benar satu nikmat.”
Beliau turut berharap kejayaannya mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda.
“Hebat dapat mencipta sejarah dan saya berharap dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak di seluruh dunia supaya percaya mereka juga mampu mencapai apa yang saya kecapi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, ketika membuat penampilan sulung di Piala Dunia menentang Ghana, Spence turut mencuri perhatian apabila enggan berjabat tangan dengan pemain lawan, Thomas Partey, yang berdepan dakwaan rogol dan serangan seksual.
Spence dilahirkan di daerah Kingston, London pada tahun 2000 hasil perkahwinan bapanya yang berasal dari Jamaica dan ibunya dari Kenya.
Dia memulakan karier bola sepak di akademi tempatan sebelum menyertai akademi Fulham pada 2015 dan kemudian berpindah ke akademi Middlesbrough pada 2018.
Pada 2022, Spence menyertai Tottenham Hotspur dari Middlesbrough.
Sejak itu, dia dipinjamkan ke Stade Rennais di Perancis, Leeds United di England dan Genoa di Itali.
Spence muncul antara pemain penting Tottenham pada musim 2025-2026 apabila membuat 44 penampilan dalam semua pertandingan.
Menurut laporan media, Islam memainkan peranan penting dalam kehidupan Spence dan perkara itu sering dikongsikannya menerusi media sosial serta temu bual.
Spence berkata, pegangan terhadap agama Islam menjadi asas dalam kehidupan hariannya dan mempengaruhi cara dia bertindak di dalam serta di luar padang.
Dia juga kerap berkongsi mesej berunsur keagamaan di akaun media sosial miliknya.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Spence berkata: “Apa juga agama anda, percayalah kepada Tuhan. Bagi saya, Allah adalah Yang Maha Agung dan Dia tidak pernah mengecewakan sesiapa.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




