am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengaku mengambil risiko dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini apabila beralih dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat ke Linggi.
“Saya bertanding di Linggi seperti yang sedia maklum Linggi adalah salah satu kubu BN (Barisan Nasional). Mereka menang banyak kali di situ, secara tradisinya mereka menang di situ.
“Jadi saya rasa ini peluang saya untuk memberikan apa yang termampu kepada penduduk di Linggi dan juga pastikan peluang PH untuk berjaya pada pilihan raya kali ini.
“Itu bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN… kita pernah bertanding di situ tetapi kalah. Kali ini saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan,” katanya ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan yang disempurnakan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada, Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Sikamat yang memberi sokongan sejak beliau bertanding pada 2008 dan memenangi kerusi itu selama empat penggal berturut-turut.
“Saya amat terhutang budi kepada mereka. Saya sayang mereka dan saya yakin sokongan mereka kepada PH sejak sekian lama sejak Pakatan Rakyat pada 2008.
“Hingga ke hari ini mereka memberikan sokongan. Saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan kepada calon baharu kita,” katanya.
Nor Azman Mohamad yang juga Setiausaha Politik kepada Aminuddin dicalonkan bagi kerusi Sikamat, menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang hebat kerana perlu meneruskan legasi ditinggalkan menteri besar itu.
“Ini bukan satu perkara mudah. Saya tidak memandang mudah persaingan ini. Mengambil alih amanat daripada Tok Min (Aminuddin) yang telah meletakkan penanda aras yang agak tinggi di Sikamat dengan khidmatnya.
“Insya-Allah saya dengan sedaya upaya akan meneruskan gerak kerja yang telah beliau laksanakan sebelum ini dan meneruskan serta memastikan kebajikan rakyat Sikamat dapat diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




