fahmy.azril@bh.com.my
Petaling Jaya: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang dijadual berlangsung di ibu pejabat parti itu di sini malam ini, dijangka menjadi tumpuan susulan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Berdasarkan notis dikeluarkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, disusuli satu sidang media pada jam 10 malam ini, sekali gus mencetuskan jangkaan bahawa beberapa keputusan penting mungkin akan diumumkan.
Difahamkan, antara perkara yang dijangka menjadi fokus perbincangan terkait spekulasi BERSATU sedang mempertimbangkan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan, berbanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) seperti amalan sebelum ini.
Selain itu, mesyuarat sama juga dijangka menyentuh dakwaan berlaku sabotaj sesama parti parti komponen PN yang didakwa berlaku sepanjang kempen PRN Johor baru-baru ini, yang menyaksikan gabungan itu kecundang di semua 33 kerusi ditandingi.
Mesyuarat BERSATU mungkin akan menyentuh dakwaan berlaku perbincangan serta pertemuan membelakangi PN membabitkan wakil PAS dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dalam PRN.
Pada malam ini, turut berlangsung pertemuan antara Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dan PAS dalam satu makan malam di sebuah hotel sekitar Kuala Lumpur.
Difahamkan, antara intipati pertemuan itu membincangkan isu terkait agihan kerusi dan penggunaan logo PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




