ARLINGTON: Sepanyol kini hanya selangkah untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah selepas menewaskan Perancis 2-0 pada separuh akhir, namun bagi pengendalinya, Luis de la Fuente, kejayaan sebenar pasukannya adalah mengembalikan semula semangat juara yang pernah membawa La Roja menakluk dunia pada 2010.
Kemenangan ke atas Perancis di Stadium Dallas, Arlington, semalam bukan sahaja melayakkan Sepanyol ke final, malah mengukuhkan status mereka sebagai pasukan paling konsisten dalam kejohanan dengan mempamerkan aksi penuh disiplin, kematangan dan keyakinan.
Skuad kendalian De la Fuente berjaya mengekang jentera serangan Perancis yang sebelum itu meledak 16 gol sepanjang kempen Piala Dunia 2026 dan dianggap antara pasukan paling berbahaya dalam kejohanan.
Bagi De la Fuente, kejayaan itu membuktikan bahawa Sepanyol kini memiliki segala ramuan untuk kembali bergelar juara dunia.
Jurulatih berusia 65 tahun itu berkata, kejayaan Sepanyol bukan sekadar bergantung kepada bakat individu, sebaliknya lahir daripada kekuatan kolektif yang menjadi identiti utama pasukan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami berdepan salah satu pasukan terbaik dunia, tetapi mereka juga berdepan pasukan terbaik dunia.
“Pemain menunjukkan komitmen, semangat berpasukan dan bakat. Mereka menjadikan sesuatu yang sukar kelihatan mudah. Mereka memiliki bakat serta sikap yang betul dalam kehidupan dan sukan.
“Saya melihat bilik persalinan yang penuh kegembiraan dan seluruh negara berada di belakang kami. Kami mengembalikan semula semangat 2010. Karakter pasukan ini jelas apabila pemain yang tidak diturunkan masih kekal menjalani latihan selepas perlawanan,” katanya.
Kenyataan De la Fuente itu menggambarkan betapa eratnya hubungan dalam skuad Sepanyol ketika ini, sesuatu yang pernah menjadi tunjang kejayaan generasi emas mereka ketika menjuarai Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.
Menurutnya, kejayaan yang dikecapi ketika ini dibina atas asas kerendahan hati, perpaduan dan kesediaan setiap pemain meletakkan kepentingan pasukan melebihi kepentingan individu.
“Saya percaya perkara paling penting adalah mengetahui siapa rakan seperjuangan anda. Jika anda membuat pilihan yang salah, anda mungkin akan berdepan masalah.
“Kami tahu pasukan ini, bukan sahaja pemain, malah semua yang membentuk skuad bekerja ke arah matlamat yang sama, dengan semangat yang sama. Kami sentiasa mengutamakan kepentingan bersama berbanding kepentingan peribadi,”jelasnya.
Kejayaan mara ke final turut melebarkan rekod cemerlang Sepanyol kepada 37 perlawanan berturut-turut tanpa kalah, sekali gus menyamai pencapaian Itali yang pernah mencipta rekod sama sebelum ini.
De la Fuente menegaskan bahawa pencapaian tersebut tidak membuatkan pasukannya berasa selesa kerana masih banyak aspek yang boleh diperbaiki.
Menjelang final, De la Fuente mengakui beliau tidak kisah siapa lawan yang bakal menanti, namun secara peribadi mengakui teruja jika dapat bertemu Argentina yang dikendalikan sahabat baiknya, Lionel Scaloni. – AGENSI/UTUSAN




