syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon baharu, Lorenzo Irmann berkongsi mengenai fasa duka apabila hasratnya untuk mendirikan rumah tangga beberapa tahun lalu tidak kesampaian.
Bagaimanapun, Lorenzo, 22, menyifatkan pengalaman lalu terbabit mematangkan dirinya untuk lebih fokus kepada kerjaya seni yang baru dibina.
“Pernahlah (merancang untuk berkahwin). Perancangan itu penting kan. Saya pernah gagal dalam perancangan ke arah membina rumah tangga. Tapi bila tak jadi, saya buat keputusan untuk fokus kerja saja sekarang,” katanya.
Lorenzo ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Viu Original Cinta Dalam Sekam di Odeon Kuala Lumpur, malam tadi mengakui dia mungkin terlalu mengutamakan soal cinta berbanding masa depan ketika itu.
“Bagi saya, masa itu mungkin saya terlalu meletakkan cinta nombor satu. Tapi bila fikir balik masa depan, saya rasa macam terlalu awal dan lebih baik fokus pada kerjaya.
“Nama saya pun baru nak menapak, masa pun tak ada. Saya pun baru habis belajar dan terus sambung kerja. Takkan nak terus kahwin kan,” katanya.
Dalam pada itu, Lorenzo menafikan dakwaan wujud orang ketiga dalam hubungan berkenaan, sebaliknya ia adalah keputusan bersama demi masa depan masing-masing.
Dia juga tidak menolak kemungkinan kerjayanya sebagai anak seni turut menjadi salah satu faktor perpisahan itu berlaku.
“Tak ada siapa tinggalkan siapa. Atas keputusan yang kedua-dua pihak setuju untuk fokus kepada kerjaya. Mungkin sebenarnya itu (kerjaya sebagai pelakon) faktor utama juga.
“Tapi saya rasa kalau pandai urus, tak ada halangan pun. Ramai saja artis yang berkahwin dengan orang biasa dan pasangan mereka boleh faham serta beri kerjasama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




