OAKLAND – Seekor burung merpati yang mengalami kesukaran bernafas akibat terhidu asap tebal berjaya diselamatkan oleh anggota bomba di Oakland, California, selepas diberikan bantuan oksigen di lokasi kejadian.
Insiden itu berlaku sejurus pasukan bomba selesai memadamkan kebakaran sebuah kenderaan yang terbakar di sebuah kawasan di bandar berkenaan.
Menurut Oakland Firefighters Local 55 menerusi satu hantaran di media sosial, burung tersebut dipercayai menghampiri anggota bomba dalam keadaan lemah dan sukar bernafas, seolah-olah mahu mendapatkan bantuan selepas terdedah kepada asap kebakaran.
“Ketika anggota sedang mengemas peralatan selepas operasi memadam kebakaran, seekor burung merpati datang menghampiri mereka dalam keadaan mengalami gangguan pernafasan akibat menghidu asap.
“Anggota kemudian menggunakan topeng oksigen bersaiz kecil bagi membantu membersihkan saluran pernafasan burung itu dan meningkatkan bekalan oksigen ke paru-parunya,” menurut kenyataan tersebut.
Selepas beberapa minit menerima rawatan, keadaan burung itu dilaporkan semakin pulih sebelum ia kembali terbang meninggalkan lokasi.
Oakland Firefighters Local 55 turut memaklumkan tindakan pantas anggota bomba itu merupakan sebahagian daripada komitmen mereka untuk membantu menyelamatkan nyawa, termasuk haiwan yang terjejas ketika operasi kecemasan.
Rakaman dan gambar kejadian yang dimuat naik di media sosial mengundang perhatian ramai, dengan kebanyakan pengguna memuji keprihatinan anggota bomba kerana tidak mengabaikan nasib haiwan kecil itu walaupun baru selesai menjalankan operasi memadam kebakaran.
Ramai menyifatkan tindakan tersebut sebagai contoh sifat belas ihsan anggota penyelamat yang sanggup menghulurkan bantuan kepada semua makhluk yang memerlukan, tanpa mengira saiz atau spesies.-Agensi



