'Batman' cilik selamatkan lelaki hampir lemas

'Batman' cilik selamatkan lelaki hampir lemas

England: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang berpakaian seperti Batman menjadi ‘wira sebenar’ apabila membantu menyelamatkan seorang lelaki daripada lemas pada Selasa, lapor Mirror.

Lucas yang mempunyai kepekaan tinggi menyedari seorang lelaki sedang melambaikan tangan dalam keadaan cemas dari sebuah beting pasir yang semakin ditenggelami air akibat air pasang.

Kejadian itu disedari kanak-kanak terbabit ketika keluarganya dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu acara di New Brighton, Merseyside.

Lucas mengenakan kostum watak adiwira berkenaan selepas selesai membuat persembahan sebagai Batman dalam sebuah pementasan muzikal anjuran sekolah tariannya.

Ibu saudaranya, Debbie Murray, 41, berkata mereka hanya menyedari kejadian itu selepas Lucas melihat ke luar tingkap kereta sebelum bertanyakan mengenai keadaan lelaki itu.

Susulan itu, keluarganya segera memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum menghubungi Pengawal Pantai Wirral yang kemudian menggerakkan kru Institusi Bot Penyelamat Kebangsaan Diraja (RNLI) berhampiran ke lokasi kejadian.

Mangsa bernasib baik apabila bot penyelamat RNLI kebetulan berada di perairan berkenaan kerana sedang menjalani latihan simulasi operasi ketika kejadian berlaku.

Pasukan penyelamat berkenaan berjaya menghampiri dan menyelamatkan lelaki yang terkandas bersama dua ekor anjing peliharaannya dalam tempoh singkat.

Mangsa dilaporkan cuba memasuki air untuk berenang ke pesisir pantai, namun orang awam menasihatinya supaya terus berada di atas beting pasir kerana arus air di kawasan berkenaan sangat dalam dan deras.

Selepas lelaki dan dua anjing itu berjaya dibawa ke darat dengan selamat, ahli keluarganya memberitahu Lucas bahawa tindakannya itu menjadikannya seorang wira sebenar dalam kalangan masyarakat.

Sebagai tanda penghargaan, Debbie membuat sumbangan kewangan kepada pihak RNLI atas nama Lucas. Selain itu, kanak-kanak itu turut ditawarkan lawatan khas ke stesen bot penyelamat New Brighton.

Lucas yang juga ahli Squirrels dalam persatuan pengakap berharap tindakan pantasnya itu membolehkan dia menerima lencana kecemasan 999 tidak lama lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top