am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) kini secara tidak langsung menyokong Kerajaan Perpaduan apabila menjalin kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).
Muhyiddin berkata, kerjasama yang dijalin PN dan BN menyebabkan berlaku
satu kelompangan yang besar dalam politik Malaysia.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ketika ini BERSATU adalah satu-satunya parti pembangkang tunggal dalam Parlimen Malaysia.
“Mampukah BERSATU bertahan dalam menghadapi cabaran dan tentangan daripada parti-parti kerajaan dan pro-kerajaan?
“Bagi saya isunya bukan mampu bertahan, tetapi mesti bertahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhyiddin berkata, kini tiada lagi parti yang benar-benar berwibawa untuk melakukan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan.
“BN boleh bercakap berdegar-degar inilah masanya untuk membenamkan Pakatan Harapan (PH) dan disambut dengan senyum simpul oleh Perikatan Nasional-PAS.
“Tetapi BN dan PH tidak boleh lari walau seinci pun daripada tanggungjawab kolektif melaksanakan dasar yang membebankan rakyat seperti kenaikan harga diesel dan petrol, kegagalan menangani isu kos sara hidup rakyat dengan berkesan, kegagalan melaksanakan reformasi institusi dan banyak lagi dasar yang membebankan rakyat serta perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, UMNO dan BN tidak boleh menutup segala kelemahan itu dengan menghempap segala kesalahan ke atas bahu orang lain sambil mengaut nikmat sebagai kerajaan dan akhirnya berselindung di bawah selimut Penyatuan Ummah dan Penyatuan Melayu untuk meraih sokongan orang Melayu.
“Percayalah, ini hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata orang Melayu dan rakyat demi mendapatkan kuasa.
“BERSATU bebas daripada semua sandiwara ini. BERSATU bertekad untuk istiqamah dengan matlamat dan dasar perjuangannya untuk membela rakyat dan memajukan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



