Perdana Menteri pilih Sepanyol juara Piala Dunia

Perdana Menteri pilih Sepanyol juara Piala Dunia

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Sepanyol sebagai pasukan pilihan menjelang final Piala Dunia 2026 menentang Argentina yang akan berlangsung di Stadium New York, New Jersey, awal pagi Isnin.

Anwar berkata, sokongan itu diberikan kerana beliau mengagumi bintang muda sensasi Sepanyol, Lamine Yamal yang disifatkan bukan sahaja cemerlang di atas padang, malah berani menyuarakan pendirian dalam isu kemanusiaan.

Menurut beliau, pemain berusia 18 tahun itu menunjukkan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin di Gaza, sekali gus menjadikan Yamal antara pemain yang wajar diberikan sokongan.

Kenyataan itu dibuat ketika Anwar menjawab soalan orang ramai mengenai pasukan pilihannya sebelum menunaikan solat Jumaat di Nilai, Negeri Sembilan, semalam. Rakaman berkenaan kemudian dimuat naik menerusi akaun Facebook rasmi beliau.

Dalam rakaman itu, Anwar turut meluangkan masa menyantuni masyarakat pelbagai peringkat umur dengan bersalaman, berbual mesra dan bergambar bersama mereka.

Yamal sebelum ini beberapa kali mencuri perhatian apabila memuat naik simbol dan mesej menyokong Palestin menerusi media sosial selain menzahirkan solidariti dalam beberapa penampilan awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top