Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggugurkan semua menteri dan timbalan menteri daripada mana-mana parti yang bertanding menentang Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, tindakan itu tidak seharusnya hanya dikenakan terhadap Barisan Nasional (BN), sebaliknya turut melibatkan Parti Warisan (Warisan) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekiranya prinsip berkenaan diguna pakai.
Menurut Dr Muhamad Akmal, Pemuda UMNO kekal dengan pendirian sebelum ini berhubung kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sebagaimana pendirian Pemuda UMNO sebelum ini yang mahu UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan, begitulah juga pendirian kami kekal hingga ke hari ini.
“Saya minta Pemuda PH desak juga Parti Warisan di Sabah untuk keluar kerana mereka juga menentang PH ketika PRN Sabah yang lalu, sedangkan pada ketika itu mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan,” jelas beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan dalam Kabinet susulan perkembangan politik terkini yang menyaksikan BN secara terbuka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Artikel lain: Jangan salah guna kedudukan! Letak jawatan jika serang rakan Kerajaan Persekutuan dalam PRN – Anwar
Dalam kenyataan bersama itu, AMH mendakwa tindakan BN bekerjasama secara terbuka dengan PN membuktikan parti berkenaan tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Anwar dalam Kerajaan Perpaduan.
AMH turut menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan dengan kadar segera supaya BN dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh kerjasama politik bersama PN tanpa menjejaskan pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata perkara sama perlu dikenakan terhadap semua parti lain yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
“Dan jika selepas ini berlangsung PRN Sarawak dan GPS bertanding menentang PH, desak juga GPS untuk keluar daripada kerajaan Persekutuan.
“Jika tidak, saya cabar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menggugurkan semua menteri dan timbalan menteri daripada BN, Warisan dan GPS. Sila sahut cabaran ini,” tegas beliau.
Sumber: FB Akmal Saleh




