SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menegaskan manifesto yang ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini bukanlah sekadar janji, sebaliknya dirangka berdasarkan kemampuan untuk dilaksanakan.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap tawaran yang dibuat diyakini mampu direalisasikan seperti yang telah dibuktikan sepanjang lapan tahun mentadbir negeri.
“Bagi saya, yang paling penting manifesto ini mampu dilaksanakan, ia bukan hanya janji tapi pelaksanaannya adalah utama.
“Kami telah membuktikan selama lapan tahun memerintah Negeri Sembilan, kami melaksanakan manifesto-manifesto yang ditawarkan, melainkan yang tidak diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri(DUN),”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Manifesto PH Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Menurutnya, sebahagian besar manifesto sebelum ini telah berjaya dilaksanakan kecuali perkara yang tidak mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jelas beliau, ia adalah cadangan mengehadkan jawatan Menteri Besar kepada dua penggal, namun tidak dapat dilaksanakan kerana ditolak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Barisan Nasional(BN).
“Awal lagi saya susah nyatakan bahawa jawatan Menteri Besar ini hanya dua penggal, tapi UMNO ketika itu tolak usul tersebut, menyebabkan ia tak dapat dilaksanakan.
“Selain daripada itu kita dapat laksanakan. Itu bukannya janji, tapi pelaksanaan,”katanya.
Dalam pada itu beliau turut menggesa semua semua calon PH supaya memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kandungan manifesto berbanding menggunakan retorik politik sepanjang kempen.
“Saya akan pastikan calon-calon membaca, memahami dan menyampaikan kepada rakyat apa yang ingin kita lakukan. Bukannya berbuat fitnah atau bergaduh.
“Rakyat mahukan manifesto yang boleh dilaksanakan dan saya yakin kita mampu melaksanakannya kerana kita mempunyai rekod pencapaian sepanjang mentadbir negeri,” katanya.
Aminuddin berkata, beliau melihat masa depan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang lebih maju, lestari dan makmur menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang dirancang.


