Pembeli emas rugi lebih RM9,000 diperdaya 'orang tengah'

Pembeli emas rugi lebih RM9,000 diperdaya 'orang tengah'

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Seorang pembeli emas kerugian lebih RM9,000 selepas dipercayai diperdaya seorang individu yang menawarkan urusan jual beli emas sebelum meminta mangsa membuat bayaran kepada pihak ketiga.

Menurut sumber, kejadian berlaku Jumaat lalu ketika mangsa berada di dalam kereta di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Ampang.

Sumber berkata, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang berminat menjalankan urusan jual beli emas.

“Individu berkenaan pada awalnya mahu menjual tiga keping emas miliknya seberat 30 gram, namun selepas berbincang dia tidak mahu menjual emas terbabit sebaliknya menawarkan diri mencari pelanggan untuk mangsa dan meminta komisen,” katanya.

Menurut sumber, mangsa kemudian bersetuju dengan permintaan itu sebelum individu terbabit memaklumkan terdapat seorang pelanggan yang mahu menjual gelang emas seberat 20.21 gram.

“Mangsa kemudiannya berjumpa seorang wanita yang dikatakan pelanggan individu terbabit di AEON Big Taman Dagang Permai.

“Suspek kemudian meminta mangsa membuat transaksi kepadanya kerana mendakwa mahu membuat bayaran kepada pelanggan berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kononnya membuat transaksi secara dalam talian sebanyak RM9,417.86.

Bagaimanapun, mangsa mendapati tiada sebarang transaksi dibuat kepada pelanggan terbabit sehingga individu berkenaan beredar dari lokasi.

“Mangsa menyedari dirinya dipercayai ditipu dan mengalami kerugian berjumlah RM9,417.86,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kes itu dan siasatan masih dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top