GUA MUSANG: Cubaan dua lelaki etnik Rohingya melarikan diri dari sekatan polis dengan membuat pusingan U gagal selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas selepas melanggar sebuah lori di simpang tiga Jerek Meranto berhampiran Kampung Kuala Lah semalam.
Penahanan kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 dan 32 tahun itu membawa kepada rampasan 6,000 biji pil yaba.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, semasa pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut di Kilometer 9, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis sebuah kereta jenis Proton Preve dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, kereta tersebut kemudian membuat pusingan U sebaik menghampiri lokasi pemeriksaan.
“Anggota polis kemudian bertindak mengejar kenderaan itu dengan bantuan Balai Polis Bertam sebelum ia terbabas dan melanggar sebuah lori.
“Hasil tindakan pantas polis, kedua-dua suspek berjaya diberkas. Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sebuah beg silang yang mengandungi bungkusan plastik berisi 6,000 biji pil disyaki dadah jenis yaba,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memiliki dadah tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran serta individu lain yang terlibat.
Katanya, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
“Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat jika disabitkan kesalahan. Kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.-UTUSAN




