Tragedi bot karam: Anak pilu ibu meninggal depan mata

Tragedi bot karam: Anak pilu ibu meninggal depan mata

Makassar: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikenali sebagai DY berdepan detik paling memilukan apabila terpaksa menyaksikan ibunya meninggal dunia di depan mata, selepas kapal KM Nurul Salsa dinaiki mereka karam di perairan Kepulauan Selayar, Sulawesi Selatan, 15 Julai lalu, lapor Kompas.

Selama empat hari hanyut di laut dengan hanya bergantung pada pelampung gabus, DY menyaksikan ibunya menghembuskan nafas terakhir akibat keletihan sebelum dia akhirnya diselamatkan nelayan bersama beberapa mangsa lain.

Tragedi itu berlaku selepas KM Nurul Salsa karam di perairan barat Pulau Polasi, Kepulauan Selayar, ketika dalam pelayaran dari Pulau Jampea menuju ke Pelabuhan Benteng.

Sejurus kapal itu tenggelam, DY pada mulanya berjaya bertahan bersama kedua-dua ibu bapanya dengan berpaut pada pelampung gabus bersama enam penumpang lain sambil menunggu bantuan tiba.

Mereka berpaut pada pelampung gabus berkenaan bersama enam penumpang lain sambil menunggu bantuan tiba.

Namun, keadaan laut yang bergelora dengan ombak tinggi menyukarkan semua mangsa untuk terus bertahan.

Pada malam pertama kejadian, ombak yang semakin kuat menyebabkan bapa dan ibu DY terpisah antara satu sama lain.

Kanak-kanak itu kemudian terus bertahan di atas pelampung bersama ibunya serta beberapa mangsa lain yang terselamat.

Memasuki hari ketiga, keadaan ibu DY semakin lemah sebelum akhirnya meninggal dunia di atas pelampung selepas tidak lagi mampu bertahan dalam keadaan terapung di tengah lautan.

Bapa saudara DY yang turut terselamat, Andi Samad berkata, mayat ibu kanak-kanak itu terpaksa ditinggalkan di tengah lautan selepas mereka tidak lagi berupaya membawanya sambil meneruskan usaha untuk menyelamatkan diri.

Selepas kehilangan ibunya, DY bersama mangsa lain terus hanyut di atas pelampung yang dibawa arus sambil menjerit meminta pertolongan, namun tiada kapal kelihatan melintasi kawasan berkenaan.

Harapan mereka mula muncul pada hari keempat apabila seorang mangsa mengeluarkan cermin kecil dari begnya sebelum menggunakannya untuk memantulkan cahaya matahari ke arah laut dalam usaha menarik perhatian kapal yang melalui kawasan itu.

Tindakan itu berjaya apabila pantulan cahaya berkenaan menarik perhatian kru kapal nelayan KM Sinar Mattoanging 04 dari Bulukumba yang sedang melintas di Laut Flores dan kesemua mangsa kemudian berjaya dipindahkan dari laut dan dilaporkan kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Makassar untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (BASARNAS) dalam kemas kini melaporkan

59 mangsa diselamatkan, manakala seorang meninggal dunia, manakala 18 lagi masih hilang.

Ketika kejadian, kapal itu membawa 78 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top