am@hmetro.com.my
Melaka: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau penggunaan kecerdasan buatan (AI) di institusi pengajian tinggi (IPT) susulan peningkatan penggunaannya yang turut mencetuskan kebimbangan terhadap isu kecurangan akademik.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, setiap universiti sudah diminta membangunkan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) khusus berkaitan penggunaan AI generatif berdasarkan kerangka yang disediakan KPT.
Menurutnya, garis panduan berkenaan bukan bertujuan menyekat penggunaan AI, sebaliknya memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara beretika dalam proses pembelajaran.
“Bermula dengan kemunculan AI generatif ini, memang ada beberapa kes yang berlaku termasuk kecurangan akademik apabila ada pengguna menggunakan AI untuk menghasilkan tugasan tanpa mengambil kira soal integriti.
“Sebab itu kita minta setiap IPT mengeluarkan garis panduan yang perlu dipatuhi dan garis panduan itu perlu dibangunkan oleh universiti masing-masing kerana setiap universiti mempunyai amalan akademik tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan Apresiasi Pendidikan Tinggi di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Pembangunan Negeri Melaka, Mohd Shahrul Shari.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, antara perkara utama yang ditekankan dalam garis panduan berkenaan ialah AI tidak boleh menggantikan disiplin ilmu kerana peranannya hanya sebagai alat sokongan kepada pembelajaran.
Pada majlis itu, Adam turut menyampaikan Tablet Kasih SISWA kepada 100 penerima serta empat komputer riba dan Hadiah Anugerah Kecemerlangan SPM kepada empat pelajar di negeri ini menerusi inisiatif Kerajaan MADANI.
© New Straits Times Press (M) Bhd




