am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming tidak menunggu lama untuk mengambil tindakan undang-undang susulan kebocoran data peribadinya apabila menghantar surat tuntutan (LOD) kepada sebuah syarikat telekomunikasi yang didakwa terbabit.
Dalam laman sosial Threads beliau, anak kelahiran Kelantan itu turut mengesahkan beberapa tindakan tegas juga sudah dilakukannya membabitkan tiga agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menyiasat penyalahgunaan data itu termasuk kepada si pelaku kes itu.
Tegasnya, peguamnya juga diarahkan untuk mengendalikan kes berkenaan sehingga selesai.
“Peguam saya sudah pun hantar LOD kepada Maxis. Laporan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk buka siasatan ke atas pelaku. Laporan kebocoran data turut dibuat kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
“Peguam-peguam saya akan ‘takeover case’ ni sehingga selesai,” katanya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, usahawan sambal dan restoran terkenal Rembayung itu turut meluahkan rasa terkilan dan risau dengan kebocoran data peribadi itu.
“Sejujurnya rasa sedih dan seram sebab semudah tu je ‘privacy’ hidup boleh hilang.
“Maklumat telefon, ‘payment history’, ‘subscription’, sampai ke no IC boleh akses MySara, semuanya bocor,” katanya.
Terdahulu, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.
Menerusi hantaran di platform Threads, beliau meminta penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial.
Persoalan itu dibangkitkan selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming, termasuk menyatakan terdapat tunggakan sebanyak RM498 selain mengaitkannya dengan beberapa perkhidmatan tambahan (add-on digital purchase).
Kejadian itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, yang mengarahkan MCMC mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi Khairul Aming susulan kebimbangan wujud akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana aduan yang dikongsi Khairul Aming memberi gambaran terdapat individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi pelanggan serta inventori atau sistem milik syarikat telekomunikasi terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




