Lelaki ditahan bersama 1,400 pil yaba dan epam di Tumpat

Lelaki ditahan bersama 1,400 pil yaba dan epam di Tumpat

nfazlina@nstp.com.my

Tumpat: Seorang lelaki ditahan bersama pelbagai jenis dadah termasuk lebih 1,400 biji pil yaba dan pil epam di Kampung Jal Kechik, di sini, malam tadi.

Operasi dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 11.30 itu menerusi Operasi Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika rondaan dilakukan pihaknya mengesan suspek berusia 49 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemui 1,395 biji pil yaba, dua gram syabu dan 15 biji pil epam pada kenderaan dan badan suspek. Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil soal siasat, suspek mendakwa mendapat bekalan dadah berkenaan daripada lelaki dikenali sebagai ‘Kemal’ yang tinggal di Wakaf Bharu, Tumpat.

“Suspek turut mendakwa bekalan dadah itu untuk diedarkan kepada pengedar-pengedar kecil di sekitar daerah Tumpat,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan termasuk motosikal bernilai lebih RM24,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top