Polis tahan pekerja kitar semula, rampas dadah bernilai RM470,000

Polis tahan pekerja kitar semula, rampas dadah bernilai RM470,000

GEORGE TOWN : Polis berjaya menahan seorang pekerja kitar semula dan merampas 3.1 kilogram (kg) dadah jenis MDMA bernilai kira-kira RM470,000 dalam satu serbuan di sebuah banglo di Teluk Air Tawar, Butterworth, kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, serbuan itu dibuat hasil risikan yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah yang menyasarkan pasaran kelab hiburan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Tambah Dennis, suspek kini direman sehingga 27 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan lanjut pula masih diteruskan ketika ini.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, seramai 36 individu telah ditahan menerusi 31 serbuan yang dijalankan polis di seluruh Pulau Pinang menerusi Ops Soga bagi membanteras kegiatan perjudian sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.

Katanya, operasi yang dijalankan bermula dari 11 Jun hingga 19 Julai itu menyaksikan sebanyak 31 kertas siasatan dibuka membabitkan 33 lelaki serta tiga wanita yang ditahan.

Beliau berkata, daripada 31 kertas siasatan itu pula, 24 daripadanya telah dibawa ke peringkat pendakwaan dengan 23 kes selesai melalui pengakuan bersalah, manakala satu kes masih dalam perbicaraan.

“Ketika ini, empat lagi kertas siasatan masih dalam proses siasatan manakala tiga kertas siasatan telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak pendakwaan kerana keterangan tidak mencukupi. Kesemua kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan perjudian,” katanya.-UTUSAN

 

Scroll to Top