Lamine Yamal 'Kelate' tiba-tiba popular, diserbu peminat

Lamine Yamal 'Kelate' tiba-tiba popular, diserbu peminat

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Fenomena bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal kini merebak ke Pantai Timur apabila pemuda dari Bachok, Kelantan, Muhamad Zakhir Muhamad Zaidi tular di aplikasi Threads kerana memiliki wajah mirip pemain sayap Barcelona itu.

Kelibat Zakhir mula mencuri tumpuan ramai ketika dia secara kebetulan menyertai satu acara e-sukan bersempena tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia 2026, baru-baru ini.

Penyertaan spontan itu membuahkan hasil apabila dia muncul juara sebelum penonton bersorak dengan gelaran pemain sensasi berkenaan.

“Masa nak main e-sukan tu memang rezeki saya sebab peserta asal tak ada, jadi saya tawar diri ganti dan terus bergelar juara.

“Bila nama naik untuk ambil hadiah di depan pentas, orang sekeliling terus bersorak memanggil nama Yamal beramai-ramai sampai saya sendiri rasa berdebar,” katanya.

Situasi bertambah meriah pada malam itu apabila dia tidak boleh berjalan bebas seperti biasa kerana diserbu pengunjung yang mahu bergambar bersamanya seolah-olah dia artis antarabangsa.

Penangan wajah komersial itu kemudiannya membawa Zakhir melangkah masuk ke konti radio bagi berkongsi kisah lucunya bersama penyampai di studio Molek FM.

Zakhir juga tidak kekok berkongsi pengalaman lucunya dipanggil dengan nama bintang muda itu oleh anak muridnya sendiri ketika menjalani latihan amali sebagai pendidik sebelum ini.

Menyara diri sebagai pencipta kandungan di platform TikTok, pemuda ini mengakui pengikutnya sering berseloroh di ruangan komen menyamakan rupanya dengan Lamine Yamal.

“Setiap kali video masuk ‘FYP’, pengikut pasti komen tanya adakah Barcelona tidak bayar gaji sampai saya terpaksa buat jualan ‘beg kuning’,” katanya.

Biarpun memiliki rupa paras saling tidak tumpah dengan pemain kebangsaan Sepanyol, dia secara jujur mendedahkan dirinya sebenarnya penyokong setia Portugal dan amat meminati Cristiano Ronaldo.

Menariknya, ‘Lamine Yamal cawangan Kelantan’ ini sanggup menggayakan potongan rambut persis bintang bola sepak antarabangsa itu bagi merealisasikan lagi penampilannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top