KUALA LUMPUR: Pengarah sebuah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau diberitahu bahawa permintaan lima peratus daripada nilai tender terbuka pra-kelayakan, perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah bagi dana politik membangunkan parti Bersatu seperti program bersama rakyat.
Pengarah Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Ismuni Johari, 58, berkata, perkara itu dimaklumkan pada `courtesy visit’ bersama Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad yang merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Turut hadir pada pertemuan yang diadakan pada Mei 2020 di Yayasan Tanah Aku di Publika di sini ialah Pengarah Urusan NSB, Wan Azhar Mohamed Yusof.
“Sayed Amir Muzzakkir juga ada menceritakan kepada saya dan Wan Azhar tujuan ‘portion’ 5%’ (bahagian lima peratus) yang diminta olehnya bertujuan untuk dana politik bagi membangunkan parti Bersatu seperti program bersama rakyat,” katanya.
Terdahulu, saksi pendakwaan ke-12 itu memberitahu pada awal April 2020, beliau dimaklumkan bahawa Sayed Amir Muzzakkir ingin berjumpa dengan Wan Azhar di luar pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) namun tidak tahu tujuan perjumpaan tersebut.
“Selepas perjumpaan itu (perjumpaan pada April 2020), Wan Azhar telah memaklumkan kepada saya bahawa Sayed Amir Muzzakkir telah meminta ‘portion’ lima peratus daripada nilai projek tender tersebut yang bernilai melebihi RM381 juta. Wan Azhar memaklumkan kepada saya tujuan Sayed Amir Muzzakkir meminta ‘portion’ tersebut adalah untuk membantu bagi mendapatkan projek tender tersebut.
“Saya hanya bersetuju ketika itu kerana saya dan Wan Azhar ingin mendapatkan tender projek tersebut. Wan Azhar juga memaklumkan kepada saya bahawa syarikat NSB perlukan perjanjian berkaitan ‘portion’ lima peratus,” katanya.
Projek yang dimaksudkan ialah Tender Terbuka Pra-Kelayakan, Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk Polis Diraja Malaysia.
“Saya percaya kemungkinan besar syarikat NSB tidak akan memperolehi tender projek tersebut jika saya dan Wan Azhar menolak permintaan pembayaran ‘portion’ lima peratus daripada Sayed Amir Muzzakkir.
“Saya juga percaya bahawa Sayed Amir Muzzakkir yang membantu syarikat NSB mendapatkan tender projek tersebut kerana Sayed Amir Muzzakkir merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri KDN iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika itu,” katanya semasa pemeriksaaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi.
Pengarah syarikat itu berkata demikian dalam perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar sebagi upah membantu NSB mendapatkan projek berkenaan.
Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan yang serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, pada 4 petang awal Disember 2020.
Selain itu, Ismuni berkata, pada 28 April 2020, beliau telah diminta untuk menurunkan tanda tangan pada dokumen ‘Project Advisory Agreement’ antara MKM Solutions Sdn. Bhd. dan NSB.
“Semasa saya menandatangani dokumen ini, Wan Azhar ada juga memaklumkan bahawa ini lah perjanjian ‘portion’ lima peratus yang diminta oleh Sayed Amir Muzzakkir. Saya tidak tahu siapa yang menyediakan dokumen ini. Saya sahkan saya tidak kenal syarikat MKM Solutions tetapi saya percaya syarikat ini adalah berkaitan dengan Sayed Amir Muzzakkir.
“Saya tidak terlibat dalam penyediaan dokumen tender kerana semua urusan penyediaan dokumen itu diuruskan oleh Wan Azhar kerana beliau yang menguruskan operasi syarikat NSB,” kata Ismuni.
Menjawab persoalan mengenai bayaran, saksi itu berkata, beliau dimaklumkan oleh Wan Azhar bahawa pembayaran telah dibuat tetapi beliau tidak tahu secara terperinci setakat mana bayaran dibuat.
Sementara itu, saksi berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela, Datuk Yaacob Md Sam yang tertuduh, bahawa perjumpaan pada Mei 2020 tidak berlaku.
Saksi itu juga tidak bersetuju dengan peguam bahawa beberapa perenggan dalam pernyataan saksinya yang menyatakan tentang ‘portion’ lima peratus adalah tidak benar.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.-UTUSAN




