mohamadridzuan@hmetro.com.my
Ampang: Vokalis Barbarik, Muss bersyukur apabila keadaan isterinya, Suraya Bahari yang dirawat di Hospital Ampang akibat pembedahan pada kaki kiri kerana kencing manis pada 13 Jun lalu, semakin stabil.
Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 58, berkata, walaupun sebelum ini kesihatan isterinya tidak menentu tetapi perkembangan terbaru ini amat melegakannya.
“Dah 40 hari terima rawatan di sini, keadaannya semakin baik. Cuma satu sahaja, dia kena betul-betul jaga pemakanan sebab bila ada diabetes ini, hanya bab makanan yang jadi masalah.
“Dia sebenarnya ada banyak masalah seperti tiroid, jantung dan paru-paru. Itu penyakit yang utama. Masa potong kaki itu, memang diawal-awal itu saya kira macam leceh sikit.
“Tapi nampaknya yang ‘side’ untuk kaki dia dah okey. Yang simptom lainlah yang perlu dijaga. Dia kena jaga makan. Dia ada tiroid dan itu antara yang perlu dijaga katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muss berkata, selepas isterinya dibenarkan keluar nanti, dia mungkin bercadang untuk membuat rawatan susulan bagi tiga masalah utama ini.
“Rawatan di sini, sampai sini saja sebab hospital akan buat yang basic atau yang utama sahaja.
Dan kalau ada susulan kita kena buat rawatan luar.
“Dia akan dibenarkan keluar dalam masa terdekat. Saya rasa kalau dia stabil dalam beberapa hari ini, bolehlah keluar,” katanya.
Menurutnya, pemotongan kaki Suraya pasti akan membawa perubahan kepada isterinya serta dia sendiri dari segi pergerakan dan kehidupan seharian.
“Sebab isteri perlu sesuaikan diri.
Kalau kata sakit yang lain atau kehilangan anggota badan yang lain, mungkin masih boleh lagi. Tapi bila babitkan potong kaki, pasti pergerakan agak susah.
“Banyak perubahan kena buat, contohnya saya pun terpaksa pindah rumah. Sebelum ini kita naik tangga tapi sebab masalah ini, kami ke rumah yang ada lif.
“Saya ambil tindakan drastik terus. Kena buat keputusan untuk pindah juga. Dalam masa yang sibuk berulang-alik ke hospital ini pun, saya dah ‘deal’ tentang rumah.
“Bila isteri balik nanti, rumah dan tersedia. Kena macam itu lah. Kalau benda tak ready, satu masalah pula untuk saya uruskan nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




