safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis menahan 12 wanita warga asing disyaki pelacur dan tujuh lelaki yang berfungsi sebagai ‘ulat’ bagi mencari pelanggan khidmat seks untuk wanita asing terbabit di sebuah pangsapuri di Jalan Pasar Pudu, di sini, petang semalam.
Serbuan dilakukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, hasil maklumat berhubung aktiviti penawaran khidmat seks di lobi pangsapuri itu oleh beberapa lelaki atau ulat kepada aktiviti pelacuran di kawasan itu.
Di lobi ini pelanggan akan memilih wanita yang diinginkan mereka berdasarkan harga yang ditawarkan ulat sebelum dibawa bertemu dengan wanita yang bersesuaian di unit kediaman di tingkat enam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata ketika serbuan jam 6 petang itu, pihaknya terpaksa memecah masuk empat unit kediaman selepas wanita asing terbabit menyedari kehadiran polis.
Katanya, ketika serbuan, ada antara wanita terbabit sanggup merisikokan nyawa dengan keluar dan bersembunyi di luar tingkat kediamannya bagi mengelak ditahan polis, selain ada yang bersembunyi di atas tangki air dan ruang bawah tilam bersaiz besar.
“Namun segala taktik mereka dapat dihidu sehinggakan semua mereka terdiri daripada enam wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga China dapat ditahan termasuk penjaga kepada wanita ini,” katanya di lokasi serbuan.
Nasri berkata, polis turut menahan tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing yang dipercayai pelanggan pelacuran serta merampas 30 keping kondom.
Tinjauan BH di lokasi mendapati ada meja khas yang disediakan untuk pelanggan mendaftar bagi memilih wanita asing yang ingin dilanggan mereka di lobi pangsapuri itu.
Untuk rekod, lokasi ini sering diserbu polis namun wanita warga asing dan penjaga mereka menggunakan pelbagai helah untuk menawarkan perkhidmatan seks termasuk memberi alasan mereka tinggal di pangsapuri berkenaan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, Seksyen 373 kanun sama, Akta Imigresen dan Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempat-Tempat Jangkitan).
© New Straits Times Press (M) Bhd




