Krisis Selat Hormuz merebak ke Laut Merah

Krisis Selat Hormuz merebak ke Laut Merah

LONDON – Konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) yang merebak ke Laut Merah mencetuskan tekanan baharu terhadap pasaran minyak ketika bekalan tenaga global masih berusaha pulih.

Peningkatan ketegangan di Asia Barat itu berisiko mengekang pertumbuhan ekonomi dunia.

Situasi di rantau itu semakin meruncing selepas kumpulan Huthi yang disokong Teheran mengumumkan sekatan terhadap kapal-kapal Arab Saudi yang cuba melalui Selat Bab el-Mandeb di pintu masuk selatan Laut Merah.

Tindakan itu dijangka merumitkan lagi aliran minyak global yang sebelum ini sudah terganggu susulan penutupan berterusan Selat Hormuz yang mengawal akses ke Teluk.

Hab eksport minyak di Yanbu, pantai barat Riyadh kemudiannya menjadi laluan utama eksport minyak mentah kerajaan tersebut selepas Selat Hormuz disekat.

Yanbu bergantung kepada Selat Bab el-Mandeb untuk menghantar bekalan ke Asia yang merupakan pasaran utamanya. Sebelum perang, kira-kira 20 peratus aliran tenaga dunia melalui Selat Hormuz.

Sejak Mac, Saudi telah mengeksport kira-kira lima juta tong minyak sehari dari pantai baratnya, lebih dua kali ganda berbanding paras sebelum perang. Menurut data firma analitik Kpler, kira-kira 80 peratus daripada penghantaran itu melalui Selat Bab el-Mandeb.

Sekatan Huthi sekali lagi memaksa laluan perdagangan minyak global disusun semula dengan pantas.

Banyak kapal yang membawa minyak mentah Riyadh ke Asia kini mengelak Selat Bab el-Mandeb dan melalui Terusan Suez ke Mediterranean sebelum mengelilingi benua Afrika.

Gangguan logistik turut menambah tekanan kepada laluan penghantaran. Kapal tangki minyak mentah terbesar tidak boleh melalui Terusan Suez dengan muatan penuh kerana had kedalaman.

Langkah mengelak Selat Bab el-Mandeb menyebabkan perjalanan kapal tangki bertambah sekurang-kurangnya empat minggu, sekali gus meningkatkan kos logistik, penghantaran dan perlindungan insurans. – Agensi

Scroll to Top