AMPANG: Penyanyi, Atilia Haron mengakui terharu apabila menerima sokongan luar biasa daripada peminat yang sanggup menghulurkan tajaan sebanyak RM20,000 demi merealisasikan konsert solo yang bakal berlangsung pada 19 September ini.
Menurut Atilia, bantuan tersebut diberikan oleh sepasang suami isteri yang sudah lama mengikuti perjalanan kerjaya seninya dan mahu melihat impiannya menganjurkan konsert berjalan lancar.
“Sewaktu saya memberitahu ibu saya (Salamiah Hassan) saya mahu adakan konsert, mesej yang dia berikan kepada saya ialah ‘buatlah, jangan habis duit lagi’. Ini kerana konsert saya terdahulu kami berdepan dengan masalah untuk mendapatkan tajaan.
“Tapi konsert kali ini kami dapat tajaan dari Pearl daripada Power Root. Ada juga penaja daripada peminat yang membantu dari segi kewangan. Boleh bayangkan, ada pasangan suami isteri yang cakap, ‘Saya mahu beli tujuh tiket, tapi saya bagi awak RM20,000 untuk konsert itu.’
“Saya pun berseloroh, ‘mahu duduk di mana? Duduk atas pentas pun boleh.’ Saya memang ada peminat macam itu. Melalui semua itu, saya rasa insya-Allah semuanya akan dipermudahkan.
“Saya pun ada memohon geran, cuma belum dapat jawapan. Kalau saya dapat geran itu, semuanya akan jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media Atilia Haron in Concert, pada Khamis.
Dalam masa sama, penyanyi 52 tahun itu menganggap kepercayaan yang diberikan oleh peminat menjadi tanggungjawab besar buat dirinya untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan dibalas dengan sebuah persembahan yang berkualiti.
“Saya rasa sangat terharu. Pasangan itu memang mengikuti persembahan saya sejak dulu lagi. Isterinya pun datang bertongkat. Saya sangat menghargai peminat seperti itu. Sebab itulah saya mahu memberikan yang terbaik untuk konsert ini.
“Memang peminat saya tidak ramai, tetapi yang ada sangat setia. Sampai saya nak buat konsert pun mereka sanggup keluarkan duit sendiri untuk membantu.
“Mana ada peminat macam itu? Saya memang sangat menghargai mereka sebab mereka juga menghargai saya,” jelasnya.
Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-52 tahun, Atilia bakal mengadakan konsert solo yang bertempat di Robert’s Theatre, The Campus Ampang pada 19 September ini.
Pada konsert itu nanti, Atilia turut menampilkan artis jemputan dari Indonesia iaitu kumpulan, Sore Ze Band.




