3 premis yang pertama di Pulau Pinang didakwa berkaitan pensijilan halal

3 premis yang pertama di Pulau Pinang didakwa berkaitan pensijilan halal

am@hmetro.com.my

Georgetown: Dua restoran dan kedai barangan kosmetik serta kesihatan menjadi antara premis perniagaan terawal di Pulau Pinang yang didakwa di Mahkamah Sesyen kerana melanggar undang-undang berkaitan pensijilan halal.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Irwan Suainbon hari ini, turut didakwa semua pengarah syarikat perniagaan berkenaan.

Pengarah Silk Road Lanzhhou Beef Noodles Sdn Bhd, Sia Khai Jun, 24, dan syarikat itu didenda RM30,000 kerana mempromosikan premis sebagai penyedia makanan halal atau mengelirukan dengan mendakwa makanan disediakan boleh dimakan orang Islam tanpa pengesahan pihak berkuasa.

Kesalahan dilakukan di Lorong Pauh Jaya 1/3 Taman Pauh Jaya, Permatang Pauh, Seberang Perai Selatan pada 12.16 tengah hari, 23 September 2025.

Orang Kena Saman (OKS) itu didakwa mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan boleh dihukum mengikut Perenggan 5 (a) dan Perenggan 5 (b) Perintah sama.

Turut dihukum denda dengan nilai sama adalah Syarikat Laksa Mana (X) Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya, Robert Khoo Keat Hoe, 53.

Hukuman itu diputuskan Irwan selepas OKS mengaku salah mempamerkan papan tanda ‘Muslim Friendly’ dan ‘Muslim Friendly Cafe’ dengan mempromosi dan membekal makanan yang boleh memperdayakan atau mengelirukan bahawa ia adalah halal, termasuk kepada orang Islam tanpa pengesahan pihak berkuasa yang berwibawa.

Kesalahan dilakukan di Lebuh Chulia, Georgetown pada 12.15 tengah hari, 24 September 2025.

Sementara itu, SAG International Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya, Abdul Samad Ayob, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memperakukan 1,486 produk sebagai halal dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang merupakan satu kesalahan di bawah Perenggan 8(A) perintah sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Lorong Perindustrian Bukit Minyak 1, Bukit Minyak Industrial Park, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan pada 11 pagi, 14 Januari lalu.

Sabit kesalahan, OKS boleh didenda tidak melebihi RM200,000. Mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes.

Semua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Hilmi Abu Hassan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top