Hukum pusaka bagi pasangan bercerai

Hukum pusaka bagi pasangan bercerai

KES kematian yang tular baru-baru ini melibatkan seorang suami yang meninggal dunia ketika isterinya masih berada dalam tempoh idah, mengundang pelbagai persoalan mengenai hak pewarisan dalam situasi perceraian.

Ramai yang keliru sama ada bekas isteri masih berhak menerima harta pusaka atau hubungan itu telah terputus sepenuhnya.

Perunding Pewarisan Harta Islam, Nurha Consultancy, Ustaz Muhammad Nur Hafidz Abd Nasir menjelaskan, kekeliruan seperti ini sebenarnya sudah lama berlaku dalam masyarakat kerana kurangnya kefahaman tentang kategori talak dan kesannya terhadap pewarisan.

Ujarnya, ayat ke-12 dalam surah an-Nisa’ jelas menyatakan bahagian suami dan isteri dalam pembahagian pusaka.

“Ayat ini menjadi asas kepada hukum bahawa perkahwinan yang sah merupakan satu sebab utama yang melayakkan seseorang mewarisi harta pasangan.

USTAZ MUHAMMAD NUR HAFIDZ

USTAZ MUHAMMAD NUR HAFIDZ

“Imam Al-Qurtubi menjelaskan isteri berhak menerima satu perempat daripada harta peninggal suaminya sekiranya suaminya itu tidak mempunyai anak dan menerima satu perlapan sekiranya suami meninggalkan anak sama ada daripada perkahwinan semasa atau perkahwinan sebelumnya.

“Ketetapan ini terpakai dalam semua keadaan termasuk poligami tanpa mengira bilangan isteri kerana hukum pusaka isteri ialah tetap,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus.

Namun sebaliknya, jika isteri yang meninggal dunia, suami berhak menerima satu perdua daripada harta peninggalannya sekiranya isteri tidak mempunyai anak dan satu perempat sekiranya isteri meninggalkan anak sama ada daripada perkahwinan semasa atau perkahwinan yang terdahulu.

Ujarnya, Imam Ar-Rahabi dalam Matan ar-Rahabiyyah turut menegaskan bahawa pernikahan termasuk antara tiga sebab pewarisan yang disepakati oleh para ulama dan selagi mana hubungan pernikahan itu wujud secara sah, hak pusaka antara suami dan isteri merupakan sesuatu yang diiktiraf syariat.

Talak rajie berhak terhadap pusaka

Menyentuh mengenai talak rajie, Ustaz Muhammad Nur Hafidz menjelaskan, ia ialah talak satu atau dua yang boleh dirujuk semula oleh suami dalam tempoh idah tanpa perlu akad baharu.

“Dari sudut syariah, isteri yang berada dalam tempoh idah talak rajie masih dianggap sebagai isteri dari segi hukum.

“Para ulama antaranya pengarang al-Fiqh al-Manhaji, menegaskan bahawa isteri yang diceraikan dengan talak rajie berhak menerima harta pusaka sekiranya suami meninggal dunia dalam tempoh idah tersebut.

“Ini kerana hubungan pernikahan masih wujud secara hukum walaupun pasangan itu tidak lagi tinggal bersama atau tidak lagi berhubungan seperti biasa dan perceraian tersebut belum memutuskan ikatan pernikahan sepenuhnya,” jelasnya lagi.

Ujarnya, aspek inilah yang sering tidak difahami masyarakat menyebabkan berlaku salah faham dan pertikaian antara waris apabila kematian berlaku dalam keadaan yang tidak disangka.

Berbeza dengan talak ba’in, sama ada ba’in sughra seperti khuluk dan fasakh ataupun ba’in kubra seperti talak tiga, ia memutuskan hubungan pernikahan secara serta-merta, katanya.

PENTING untuk mengetahui kategori cerai agar pembahagian harta pusaka dapat dilaksanakan dengan tepat. Foto Canva

PENTING untuk mengetahui kategori cerai agar pembahagian harta pusaka dapat dilaksanakan dengan tepat. Foto Canva

“Dalam keadaan ini, hak pusaka antara suami dan isteri tidak lagi wujud walaupun idah masih berjalan.

“Dr Az-Zuhaili menjelaskan bahawa dalam talak ba’in, sebab pewarisan terputus sepenuhnya kerana ia bukan lagi pernikahan yang sah. Bekas isteri tidak mewarisi harta bekas suami dan bekas suami juga tidak mewarisi harta bekas isteri. Ini merupakan prinsip yang jelas dan disepakati oleh majoriti fuqaha,” jelasnya.

Penting faham status talak, hak pusaka

Sambungnya, isu pusaka dalam situasi perceraian bukan sekadar isu hukum tetapi menyentuh aspek kehidupan sebenar termasuk tempat tinggal, nafkah anak, kelangsungan hidup dan hubungan kekeluargaan.

“Ramai wanita yang telah hidup bersama suami bertahun-tahun tiba-tiba hilang hak tanpa mereka sedar disebabkan salah faham terhadap status talak,” ujarnya.

Kes baru-baru ini seharusnya menjadi pengajaran agar masyarakat lebih cakna tentang:

1 – Jenis talak yang dilafazkan.

2 – Tempoh idah dan kedudukannya dalam hukum.

3 – Hubungan antara talak dan pewarisan.

4 – Kepentingan menyimpan rekod yang jelas mengenai status perkahwinan.

Jelasnya, salah faham tentang perkara ini bukan sahaja menyebabkan perebutan pusaka, tetapi juga boleh menimbulkan ketegangan antara keluarga termasuk antara isteri pertama, isteri baharu, anak-anak dan keluarga sebelah suami.

ISTERI yang diceraikan berhak untuk terus tinggal di rumah suami sehingga tamat tempoh idah. Foto Canva

ISTERI yang diceraikan berhak untuk terus tinggal di rumah suami sehingga tamat tempoh idah. Foto Canva

Rancang harta semasa hidup

Sebagai langkah pencegahan ujarnya, umat Islam digalakkan merancang harta semasa hidup melalui instrumen hibah, wasiat, amanah (trust) dan penamaan aset tertentu.

“Dokumen-dokumen ini dapat mengelakkan konflik, menjaga kebajikan isteri dan anak-anak serta memastikan harta diagihkan secara teratur selepas kematian.

“Perancangan harta bukan hanya berkaitan angka dan dokumen, tetapi juga berkaitan ketenangan emosi dan perlindungan terhadap pihak yang lemah,” jelasnya.

Scroll to Top