Kuala Lumpur: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan himpunan aman dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini esok, bagi membantah tekanan ahli Kongres negara itu terhadap dasar kedaulatan Malaysia.
Tiga pertubuhan berkenaan ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT).
Menurut poster program dikeluarkan penganjur, perhimpunan itu dijadualkan bermula di Masjid Tabung Haji pada 3 petang, selepas solat Jumaat sebelum bergerak ke kedutaan berkenaan.
Himpunan bertemakan “Rakyat Bersatu Tolak Campur Tangan AS” dengan slogan “Pertahankan Kedaulatan Negara.”
Peserta disaran menyatakan bantahan terhadap tindakan yang digambarkan sebagai keangkuhan politik AS, dengan menegaskan Malaysia berhak menentukan dasar luar dan dasar kemasukannya sendiri.
Penganjur turut menggesa semua peserta agar mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan serta memastikan himpunan tersebut berlangsung secara aman, bersatu dan berdisiplin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




