Casemiro sertai Messi di Inter Miami

Casemiro sertai Messi di Inter Miami

MIAMI: Inter Miami menandatangani pemain tengah Brazil, Casemiro sebagai ejen bebas, namun perpindahan itu dibayangi siasatan Major League Soccer (MLS) berhubung dakwaan pelanggaran peraturan perpindahan pemain.

Casemiro, 34, pernah menjulang lima kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah ketika bersama Real Madrid, menyertai Inter Miami sebagai ejen bebas selepas Manchester United memilih untuk tidak menyambung kontraknya yang berakhir musim ini.

Pemain tengah berpengalaman itu memilih untuk bergandingan bersama Lionel Messi dan Rodrigo De Paul di Inter Miami, kelab yang dimiliki bersama legenda England, David Beckham.

Pemilik pengurusan Inter Miami, Jorge Mas berkata, kehadiran Casemiro membuktikan visi serta cita-cita besar kelab itu untuk terus berkembang dan muncul sebagai antara pasukan terbaik di dunia.

“Kehadiran Casemiro mencerminkan visi dan cita-cita yang menjadi identiti Inter Miami. Kami tidak pernah berpuas hati, sebaliknya sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan standard pasukan setiap musim.

“Kami membina sebuah kelab bertaraf global dengan sasaran bukan sahaja menjadi yang terbaik di Amerika Syarikat, malah muncul penanda aras di peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, sejurus selepas pengumuman tersebut dibuat, MLS mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat dakwaan Inter Miami melakukan pelanggaran peraturan dalam usaha mendapatkan khidmat Casemiro.

Siasatan itu tertumpu kepada sistem “discovery rights” MLS yang mewajibkan sesebuah kelab memperoleh hak rundingan terlebih dahulu sebelum memulakan proses menandatangani pemain berprofil tinggi.

Los Angeles Galaxy sebelum ini memiliki hak rundingan terhadap Casemiro dan difahamkan akan menerima pampasan daripada Inter Miami selepas melepaskan hak tersebut.

“MLS sedang mengumpulkan semua maklumat berkaitan dan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut sehingga siasatan selesai.

“Walaupun Inter Miami dan LA Galaxy telah mencapai persetujuan berhubung Discovery Priority untuk Casemiro, butiran perjanjian hanya akan diumumkan selepas siasatan berakhir,” menurut kenyataan MLS.

Kehadiran Casemiro mengukuhkan lagi status Inter Miami sebagai kelab paling sarat dengan bintang dalam MLS, walaupun beberapa pasukan lain turut memiliki pemain ternama seperti Son Heung-min bersama Los Angeles FC.

Inter Miami muncul juara Piala MLS buat kali pertama pada Disember lalu sebelum berpindah ke stadium baharu pada April.

Namun, ini bukan kali pertama kelab itu berdepan isu berkaitan perpindahan pemain. Pada 2020, perpindahan Blaise Matuidi dari Juventus mencetuskan siasatan MLS sebelum Inter Miami didenda AS$2 juta (RM8.5 juta) kerana melanggar peraturan had gaji. – AGENSI/UTUSAN

Scroll to Top