JEMPOL – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa kini lebih banyak menyerang Pas berbanding Pakatan Harapan (PH), sedangkan parti itu sebelum ini bergantung kepada sokongan pengundi dan kekuatan jentera Pas.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti berkenaan juga berisiko hilang daripada landskap politik negara sekiranya terus bersikap ego, menyerang Pas dan tidak memperkukuh kerjasama sesama parti pembangkang.
Menurutnya, Bersatu perlu menerima dengan hati terbuka kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Katanya, Bersatu tidak mampu bergerak bersendirian tanpa sokongan daripada rakan politiknya.
“Selama ini dia (Bersatu) hidup dengan undi Pas tetapi lepas itu dia tibai Pas. Tak lama dah kalau perangai kekal macam ini. Bersatu akan ghuyup (hilang) daripada politik tanah air ini.
“Ada ke masuk pilihan raya tembak sama sendiri? Biarlah mereka menyalak seorang. Kalau sikap ini berterusan, ini pilihan raya terakhir untuk mereka. Lepas ini ghuyup,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN dan BN Parlimen Jempol di Bandar Seri Jempol di sini, pada Khamis.
Menteri Besar Kedah itu berkata, pemimpin Bersatu sepatutnya menumpukan serangan terhadap PH dan bukannya terus mempertikaikan Pas yang merupakan rakan dalam blok pembangkang.
Beliau turut menasihati agar pemimpin Bersatu mengetepikan sifat angkuh dan sombong jika mahu menyertai gabungan lebih besar bersama BN dan PN.
“Kenapa tibai Pas? Tibai PH lah aku nak dengar. Sepanjang saya dengar ceramah pemimpin-pemimpin Bersatu, tak ada lagi yang kata pada PH. Semua kata pada PN dan Pas.
“Kalau mereka nak sertai bahtera besar ini, mereka kena duduk dengan kita. Kalau tidak, anda akan hanyut.
“Tak boleh buat apa kalau ego besar, berlagak, sombong dan angkuh. Semua itu kena ditinggalkan. Kalau nak bersama, ikhlaskan hati, berjiwa besar, reda dengan penyatuan, berkongsi apa yang ada dan berpakat elok-elok,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mendakwa kejayaan Bersatu memenangi 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah hasil sokongan jentera Pas.
“Dia kata Pas menang 43 kerusi kerana kerjasama dengan Bersatu. Saya nak beritahu, kamu menang 30 kerusi kerana kerjasama dengan Pas, lepas itu kamu pecat 19 ahli Parlimen.
“Dia mana ada jentera. Tengok bila tak bersama Pas khemah ceramah dia ada berapa orang? Bilik gerakan dia ada jentera atau tidak? Semua bergantung pada Pas. Janganlah kata Pas tumpang dia. Dia yang tumpang Pas,” katanya.



