Harissa Adlynn elak terbabit isu cinta lokasi, kontroversi

Harissa Adlynn elak terbabit isu cinta lokasi, kontroversi

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Harissa Adlynn mengelak daripada terpalit dengan isu cinta lokasi serta kontroversi yang boleh menjejaskan reputasi selain nama baik keluarganya sepanjang bergelar anak seni.

Harissa atau nama sebenar, Harissa Adlynn Abdul Halim, 23, mengakui pernah berdepan situasi diganggu pelakon lelaki yang cuba mendekati dirinya, meskipun individu berkenaan sudah mempunyai kekasih.

“Ada sahaja (pelakon lelaki cuba mendekati). Kejadian itu pernah berlaku beberapa tahun lalu. Saya rasa setiap pelakon melaluinya, malah pelakon lelaki juga pernah rasa begitu.

“Saya memang tidak layan perkara begitu. Walaupun saya sangat mesra dengan mereka, tetapi saya tidak beri perhatian lebih hingga membuatkan mereka rasa saya menyukai mereka. Itu cara saya,” katanya ketika ditemui di set penggambaran siri premium Astro Originals, Keluang Man, di sini, semalam.

Menurut Harissa, perkara penting buat dirinya sebagai seorang pelakon adalah untuk kekal profesional ketika berada di set penggambaran.

“Apa-apa pun, saya sangat mengutamakan sikap profesional kerana perkara ini boleh menjejaskan nama saya terutamanya selepas saya bekerja keras untuk jaga nama sendiri dan keluarga.

“Jika ada yang cuba menjejaskannya, ia sudah tentu membuatkan saya marah. Tetapi saya ada peranan sendiri iaitu tidak melayan individu berkenaan kerana kerja kita bertemu orang yang sama setiap hari.

“Perasaan itu mestilah wujud bagi sesetengah pelakon dan kita tidak boleh marah mereka kerana ada perasaan.

“Namun, jika mereka melakukan sesuatu yang membuatkan saya rasa tidak selesa, ia menjadi tanggungjawab saya untuk hentikan ia daripada pergi terlalu jauh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Harissa memilih untuk menetapkan batas agar budaya cinta lokasi tidak terus dinormalisasikan, khususnya dalam kalangan pelakon baharu.

“Mungkin kebanyakan pelakon tidak lagi meletakkan batas, tetapi amat penting untuk berbuat demikian.

“Sebab itu bila di set penggambaran, saya buat hal sendiri dan kebanyakan masa saya hanya bersama pembantu peribadi (PA) saya sahaja,” kongsinya.

Dalam pada itu, Harissa turut berkongsi pengalamannya ketika bergandingan dengan pelakon, Keith Foo dalam drama berjudul Isteri Rahsia Ungku Jaabar.

“Kami rakan yang baik, dia sangat baik dengan saya dan saya juga begitu dengannya. Apabila bekerja, keserasian kami memang ada.

“Tetapi sebaik sahaja pengarah sebut ‘cut’, kami duduk di tempat berasingan dan tidak makan bersama.

“Kami saling menghormati, terutamanya saya tahu dia sudah mempunyai kekasih dan dia adalah senior saya. Jadi saya tidak mahu sebarang perkara pelik berlaku antara saya dan dia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Harissa turut tampil membintangi drama Astro Shaw yang berjudul Keluang Man: The Series arahan Zahir Omar dan Syahmi Norsan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top