Kuala Lumpur: Selangor Red Giants (SRG) tekad untuk segera menangani kelemahan yang menyebabkan kekalahan tipis 1-2 kepada PRO Esports dari Kemboja pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Mid Season Cup x Esports World Cup (MSC x EWC) 2026 di Paris, Perancis semalam.
Ketua jurulatih SRG Michael Angelo Bocado (Arcadia) berkata, menjangkakan saingan sengit daripada pasukan itu selepas mengkaji prestasi PRO Esports dalam liga Kemboja.
“Saya menonton liga tempatan mereka dan PRO Esports adalah pasukan yang sangat agresif, terutamanya dari segi mengawal peta.
“Jadi saya tahu ia (perlawanan) yang sukar dan sangat menarik untuk menentang mereka,” katanya selepas perlawanan semalam.
Berhubung prestasi SRG, Bocado berkata, mereka mempunyai peluang untuk meraih kemenangan tetapi tewas disebabkan kesilapan kecil pada saat-saat penting.
“Perlawanan ini sangat sukar, kami hanya mampu bangkit pada perlawanan pertama. Permainan kedua juga mencabar walaupun kami mendapat permulaan yang baik sebelum tewas pada pertengahan hingga akhir permainan.
“Permainan ketiga juga sukar pada peringkat awal… jadi secara keseluruhannya ia perlawanan yang sangat sukar,” katanya.
Menjelang perlawanan seterusnya, Bocado berkata, SRG akan segera melakukan penilaian menyeluruh untuk memastikan mereka dapat bangkit dengan lebih kuat dalam baki perlawanan peringkat kumpulan.
“Kami perlu menilai segala aspek yang boleh diperbaiki sama ada the heroes, the draft atau corak permainan. Apa sahaja yang perlu dilakukan, kami pasti melakukannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




