BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok yang dianggarkan bernilai RM9.3 juta dalam dua pemeriksaan berasingan pada Mei dan Jun lalu.
Pengarah Kastam negeri, Hasbollah Din berkata, dalam pemeriksaan pertama kira-kira pukul 2.15 petang, 29 Mei lalu, sebuah lori telah ditahan ketika berada di susur keluar tol Bukit Tambun (Utara) di Simpang Ampat berdasarkan maklumat risikan.
Katanya, hasil pemeriksaan seterusnya mendapati, terdapat 5,904.48 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam bernilai RM237,244.40 termasuk cukai berada dalam muatan lori berkenaan.
“Susulan pemeriksaan tersebut, pemandu lori dan kelindan warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 30-an itu terpaksa ditahan bersama barang kes untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan siasatan awal, semua minuman keras yang diseludup itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
Sementara itu, dalam pemeriksaan kedua pula, Hasbollah berkata, sebuah kontena yang membawa muatan lebih lapan juta batang rokok putih telah ditahan dan disita ketika berada Westports Malaysia Sdn. Bhd., Pelabuhan Klang, Selangor susulan satu pemeriksaan pada 24 Jun lalu.
“Pemeriksaan kira-kira pukul 11.15 pagi itu dibuat selepas kontena berkenaan didapati berada dalam keadaan mencurigakan kerana ia diikrar membawa bahan PE (Polyethylene) Tarpaulin atau kanvas plastik.
“Pemeriksaan sebaliknya menjumpai sebanyak 815 ‘master case’ yang mengandungi 8,150,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam yang bernilai RM9,144,300 termasuk cukai,” katanya.
Jelas Hasbollah, siasatan lanjut mendapati, kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan dan logistik yang mempunyai cawangan di Subang Jaya, Selangor manakala dagangan berkenaan pula disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Tenggara untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
“Ketika ini, pengurus syarikat perkapalan itu iaitu seorang lelaki berusia 50-an telah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” ujar beliau.-UTUSAN




